Páginas

Wednesday 2 September 2015

Ganjaran Kepada Keluarga Ramai Anak

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 1 SEPTEMBER 2015


Kerajaan negeri berhasrat memberi ganjaran khas kepada keluarga yang mempunyai ramai anak dan jumlahnya mungkin kepada anak yang  ke-12 bagi setiap isi rumah.


Menteri Besar,  Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif itu sebagai menggalakkan kadar kelahiran lebih tinggi sekaligus menambah bilangan anggota keluarga yang secara tidak langsung mampu merealisasikan hasrat kerajaan mencapai status negeri maju tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri berhasrat untuk menambah kadar kelahiran di mana mungkin pada pembentangan bajet akan datang memberi insentif kepada keluarga yang melahirkan anak ke-12 bagi setiap isi rumah.

“Perkara itu akan diperhalusi menerusi Exco YB Pehimi (Dato’ Muhammad Pehimi Yusof ) kerana untuk menjadi negeri maju perkara yang utama adalah jumlah penduduk. Setakat ini, Terengganu hanya mempunyai 1.1 juta penduduk, sedangkan keluasan negeri mampu menampung lebh daripada itu,”katanya.


Beliau berkata demikian ketika meraikan `Bayi Merdeka’ di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar.

Selain itu, katanya Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK)  juga melaksanakan khidmat kaunseling kepada keluarga yang mempunyai konflik supaya tidak malu untuk meluahkan masalah mereka sekaligus dapat keluar daripada masalah terutama kepada pasangan yang baru berumahtangga.

Tambahnya, kerajaan negeri turut menggalakkan program bulan madu  kedua bagi pasangan suami isteri bagi memperkukuh hubungan kekeluargaan serta melahirkan generasi cemerlang sebagaimana hasrat pucuk pimpinan negeri menerusi prinsip ketiga Transformasi Terengganu Baharu (TTB), iaitu Keluarga Bahagia, Rakyat Sejahtera.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga akan menumpukan kepada usaha mengatasi permasalahan remaja di sekolah kerana bagi melahirkan generasi cemerlang kerana mereka perlu dididik dari peringkat sekolah selain memastikan ibu bapa mengambil peranan membentuk anak-anak masing-masing,”katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment