Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JaPen Terengganu) akan menganjurkan Karnival Komuniti 1Malaysia (K1M) di Padang Awam Kampung Seberang Pintasan, Dungun selama tiga hari bermula Khamis ini (1 Oktober 2015).
Pengarah JaPen Terengganu, Nasrudin H. Mahmud, berkata pelbagai acara menarik disediakan sepanjang karnival berlangsung seperti persembahan artis Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia, pertandingan bintang patriotik, forum hal ehwal Islam, pertandingan memancing dan pertandingan mewarna untuk murid pra sekolah.
Katanya, selain itu turut diadakan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta, sukaneka, pemeriksaan kesihatan percuma dan cabutan bertuah untuk pengunjung.
“Orang ramai juga berpeluang melihat dan membeli barangan yang dihasilkan oleh ahli K1M seperti makanan ringan dan hasil kraftangan.
“Penganjuran Karnival K1M bertujuan menjalin hubungan dan kerjasama antara K1M di negeri ini selain menggalakkan keterlibatan ahli K1M dalam mengurus program secara bersama,” katanya.
Nasrudin, berkata karnival yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta itu diharap mampu mendekatkan masyarakat setempat dengan pihak kerajaan selain dapat memberi perkhidmatan terus kepada rakyat.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Jailani Johari akan merasmikan karnival itu pada 3 Oktober 2015.
Sehubungan itu, masyarakat di daerah Dungun terutama di sekitar tapak karnival dijemput hadir bagi memeriahkan Karnival K1M selain mendapat maklumat tepat mengenai agensi yang mengambil bahagian pada karnival itu.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment