Páginas

Sunday 13 September 2015

YPM Sasar Taja 150 Pelajar Lepasan SPM Ke Jepun

AUTHOR: FAUZI MOHD 13 SEPTEMBER 2015


Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyasarkan untuk menaja sebanyak 150 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di Jepun, setiap tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Abdul Karim Mustafa.


Beliau berkata bagi tujuan tersebut, yayasan itu memperuntukkan kira-kira RM90 juta setahun, bagi membantu kumpulan pelajar terbabit menyambung pengajian di negara berkenaan.

Menurutnya, YPM akan memberi lebih tumpuan membiayai pelajar dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan dan golongan asnaf agar dapat melanjutkan pengajian tanpa masalah kewangan di lebih 20 IPT di Jepun.

“Selain itu, kita juga memfokuskan kepada pelajar luar bandar dan sekolah berprestasi tinggi yang berpotensi mendapat keputusan cemerlang dan mencapai kesemua A dalam setiap mata pelajaran,” katanya selepas merasmikan ‘Program Selangkah Ke Jepun’ di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Hulu Terengganu, semalam.

Abdul Karim berkata walaupun pihaknya menyasarkan 150 pelajar menyambung pengajian di Jepun, hanya 132 pelajar yang berbuat demikian dalam bidang mekanikal dan elektrikal, tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, YPM memperuntukkan RM350,000 seorang, manakala bagi sarjana, sebanyak RM660,000 disediakan, dengan kedua-duanya ditaja sepenuhnya tanpa perlu membayar balik pembiayaan tersebut.

“Setiap tahun kita tidak mencapai sasaran ditetapkan, jadi kita anjurkan pelbagai program kepada pelajar SPM untuk menarik minat mereka menyambung pengajian dalam bidang yang ditawarkan.

“Kini, kita sedang giat mengadakan promosi dan memperkenalkan program ini di sekolah-sekolah berpotensi termasuk MRSM bagi menarik lebih ramai pelajar cemerlang menyertai program yang diperkenalkan sejak 1993 itu,” katanya.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan itu juga dapat dijadikan platform kepada pelajar dalam menetapkan hala tuju mereka selepas tamat menduduki peperiksaan SPM.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment