Páginas

Wednesday, 2 September 2015

LPP Bina Kilang RM25 Juta Lonjak Hasil Padi

AUTHOR: NORAINI JUSOH 1 SEPTEMBER 2015


Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu bakal  membina sebuah kilang padi di Hulu Besut dengan kos RM25 juta bagi melonjakkan lagi pengeluaran padi di negeri ini, tahun hadapan.


Pengarahnya, Abd Mubin Abdul Razak berkata, pembinaan kilang di atas tapak seluas enam hektar di Bendang Baruh Masin, Jalan Pasir Akar itu bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi malah dapat menjana pendapatan lebih besar kepada ahli Peladang.

Katanya, pembinaan kilang yang melibatkan  tiga fasa itu dijangka akan beroperasi sepenuhnya awal 2017 dan mampu mengeluarkan 70,000 hingga 90,000 tan metrik padi setahun.

“Fasa pertama projek kilang padi Konsortium Kilang Padi Pertubuhan Peladang Terengganu Sdn Bhd ini akan melibatkan kerjaa-kerja menambak tapak dan pembinaan jambatan masuk.

“Fasa kedua termasuk kerja-kerja membina bangunan kilang padi dan fasa terakhir adalah kerja-kerja membekal dan memasang mesin-mesin di kilang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama (MoU) Penubuhan Konsortium Kilang Padi Pertubuhan Peladang Terengganu di Wisma Peladang Terengganu, hari ini.

Katanya, secara amnya kilang padi tersebut akan terdiri daripada bahagian pengeringan, stor padi dan pemprosesan padi.

“Dengan adanya alat pengeringan, kilang itu nanti dijangka dapat mengeringkan 300 hingga 400 tan padi sehari dan kita jangka dapat beroperasi lebih dari lapan jam sehari dimana berupaya memproses padi antara lima hingga enam tan metrik sejam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abd Mubin berkata, dengan adanya sistem pengairan melalui pembangunan Empangan Paya Peda di Hulu Besut dan Projek Pengairan Jelapang di Setiu juga akan turut membantu meningkatkan hasil padi di negeri ini.

“Hasil pengeluaran padi untuk sara diri di Terengganu kini 53 peratus. Melalui pembinaan kilang dan perusahaan projek padi serta sistem pengairan yang baik dijangka boleh naik hingga 60 hingga 70 peratus,” ujarnya.

Menurut Abd Mubin, padi di Terengganu antara yang berkualiti dan setakat ini terdapat tiga kilang padi di negeri ini dimana dua di Besut dan sebuah di Tepoh, Kuala Nerus.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment