Páginas

Sunday 6 September 2015

THT Pertahankan Kejuaraan Liga Hoki Malaysia 2015

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 5 SEPTEMBER 2015
KUALA TERENGGANU - 4 SEPTEMBER 2015 - Pemain THT meraikan kemenangan bersama penyokong apabila muncul juara Liga Hoki Malaysia selepas menewaskan KLHC dengan jaringan 5-4 pada perlawanan penentuan di Stadium Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini hari ini.  GAMBAR : AZLAN BAHRUM WARTAWAN : Rosalinda Said ( Utusan) / Shanika (Kosmo!)
*****
Kelebihan beraksi di halaman sendiri dengan sorakan semangat lautan penyokong memberi azimat kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila berjaya mengekalkan kejuaraan di pentas final Liga Hoki Malaysia (MHL) 2015,  selepas menundukkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC),  5-4 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), malam tadi.


Kemenangan yang dilakarkan ke atas pasukan pilihan menyaksikan THT berjaya mengekalkan status juara musim lalu hasil jumlah 27 mata menerusi 35 jaringan selepas mengharungi sepuluh perlawanan.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan bermula garang, bagaimanapun pelawat terlebih dahulu menemui sentuhan gol hasil jaringan padang Nabil Fiqri Mohd. Noor seawal minit keempat, sebelum THT menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil pukulan sudut penalti oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Perlawanan menjadi kian sengit apabila skuad kendalian jurulatih Sarjit Singh mula melancar serangan bertali arus mengasak kubu lawan, sekaligus mendahului pelawat menerusi Mohd. Fitri Saari pada minit ke-15,  diikuti Muhammad Firhan Ashari (ke-32) bagi menjarakkan mata.

Tertekan apabila ketinggalan 3-1, pelawat bangkit meraih gol kedua dan ketiga untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti oleh kaptennya, Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-34 serta ke-47.


Berbaki 10 minit perlawanan, pelawat berjaya merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan dengan cemerlang oleh Muhammad Noor Faeez Ibrahim untuk mengikat mata dengan 4-4.

Asakan demi asakan yang dilancarkan kedua-dua pasukan, akhirnya tetap memberi tuah kepada tuan rumah apabila Tengku Ahmad Tajuddin muncul wira THT pada minit ke-60 perlawanan untuk mengesahkan kemenangan, sekaligus menafikan impian pasukan kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah untuk merampas takhta musim ini.

Kejayaan bermakna itu turut disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang turun padang memberi sokongan bersama 2,000 penyokong THT yang membanjiri stadium.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Hoki Terengganu,  Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment