Páginas

Wednesday 30 September 2015

SPNB Bina 822 Unit Rumah Di Terengganu

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 29 SEPTEMBER 2015


822 unit rumah baharu akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Terengganu selepas selesai perbincangan dengan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sehingga kini, Terengganu masih belum lagi mempunyai  rumah SPNB.


“Perbincangan awal telah dilakukan dengan SPNB dan mereka telah meluluskan tiga kawasan untuk pembinaan rumah di Terengganu.

“Sebanyak 350 unit akan dibina di Tok Jembal, Santong sebanyak 242 unit manakala di Kuala Ping pula sebanyak 230 unit,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Dibawah Pelan Tindakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Tok Jembal, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Mohamad Kamil Othman, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.


Pada majlis tersebut, seramai dua pemilik menerima kunci rumah PPKB.

Berkenaan isu Rumah Mampu Milik (RMM), Ahmad Razif berkata setakat ini sebanyak 6,754 buah rumah telah siap dibina dan akan diserahkan secepat yang mungkin.

“Jumlah keseluruhan RMM adalah sebanyak 7,986 dan daripada jumlah tersebut 6,754 unit telah pun disiapkan.

“Sekarang ini, kita dalam proses menyelesaikan sebarang kesulitan yang timbul dan dijangkakan sebelum 31 Disember semuanya telahpun selesai diserahkan kepada pemilik,” katanya.

Tambahnya, permohonan untuk mendapatkan RMM yang amat tinggi menyebabkan pihak  Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) tidak dapat membuka sistem atas talian mereka lagi sehingga selesai pembahagian rumah sedia ada sekarang.

“Sehingga 2 Julai 2014, kita menerima permohonan sebanyak 56,691. Kita akan selesaikan permohonan yang ada dahulu sebelum membuka kembali sistem tersebut,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment