Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan Timb. Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas sidang media Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC petang ini.
Turut bersama Naib - naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Fotop : MediaUMNO
*****
TEMERLOH, 11 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tiada satupun parti politik yang mampu menyaingi semangat setiakawan dan solidariti dalam parti keramat UMNO.
Jelasnya, UMNO dipanggil parti keramat kerana semua pemimpin dan ahlinya sentiasa mengutamakan perjuangan parti dan perjuangan tersebut mengatasi segalanya.
“Inilah yang tidak ada dalam parti politik lain. Kita lihat pembangkang, kalah bertanding mereka keluar parti tubuh parti lain. Bergaduh, berselisih pendapat mereka tikam kawan sendiri.
“Tapi dalam UMNO, selisih pendapat tidak bererti semangat setiakawan diketepikan. Bertikam lidah tidak bererti perjuangan parti disisihkan. Maka pembangkang bolehlah gigit jari untuk melihat UMNO itu rosak dan jatuh,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Sharkar yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, orang UMNO tahu dan menghormati hak presiden dan hak ahli itu sendiri.
“Jika kita tahu di mana dan siapa kita, jika kita tahu apa maksud perjuangan UMNO maka kita akan terus setia bersama parti keramat ini.
“Lihatlah contoh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Walaupun mereka tidak lagi berada dalam barisan kabinet namun kesetiaan mereka kepada parti tidak boleh dipertikaikan.
“Solidariti yang ditunjukkan ini harus dicontohi oleh semua peringkat UMNO baik di peringkat cawangan mahupun bahagian. Inilah yang kita perlukan untuk terus memperkukuhkan parti apatah lagi kita bakal berdepan dengan Pilihan Raya Umum(PRU) ke-14 tidak lama lagi,” katanya lagi.
Namun beliau sedar, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan terus berusaha untuk memporak-perandakan lagi UMNO.
“Melihat akan kejituan yang terserlah di antara para pemimpin UMNO semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, sudah pasti membuatkan pihak tidak bertanggungjawab ini ‘panas punggung’ untuk mengatur strategi baru demi merealisasikan impian mereka untuk melihat UMNO reba”, ujarnya.
Tapi beliau yakin, segala usaha keji tersebut tidak akan mampu terlaksana kerana UMNO itu adalah ‘keramat’.
– MediaUMNO
No comments:
Post a Comment