Páginas

Wednesday 30 September 2015

Melon Manis Terengganu Untuk Pasaran Antarabangsa

AUTHOR: MOHAMAD ISHAK 29 SEPTEMBER 2015
Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman memetik Melon Manis Terengganu ketika pelancaran Sambutan 110 Tahun Jabatan Pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Besut di Kampung Tok Dor, Jabi, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah
*****
Terengganu bakal menjadi negeri pertama memasarkan hasil Melon Manis untuk pasaran antarabangsa berikutan  banyak permintaan daripada penduduk di beberapa negara terutama rantau Asia.


Ketika ini Melon Manis Terengganu mendapat permintaan tinggi dari Jepun dan Singapura kerana khasiat digemari oleh penduduk negara terbabit.

Pusat pengeluaran tanaman berkenaan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Tok Dor, dekat Jertih, berupaya menghasilkan tanaman berkenaan untuk dieksport ke luar negara dan ia akan ditingkatkan apabila tanaman berkenaan diberi fokus utama dalam industri pertanian negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, TKPM Besut akan memberi tumpuan kepada penanaman secara fertigasi di bawah Struktur Perlindungan Hujan (SPH).

“Sebanyak 444 unit SPH akan didirikan di sini dengan kapasiti pokok berjumlah 222,000 dengan jangkaan pengeluaran 666 tan metrik dengan nilai RM2 juta setiap pusingan atau RM6 juta setahun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika pelancaran Sambutan 110 Tahun Jabatan Pertanian dan Perasmian Melon Manis Terengganu dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Besut di Kampung Tok Dor, Jabi, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan, Nawi Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafie, ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Pegawai Daerah Besut, Dato’ A Rahim Jusoh serta Pengarah Pertanian Terengganu, Mohd Nasir Warris.

Menteri Besar berkata, beliau yakin Program Transformasi Pertanian Baharu yang memasukkan “Melon Manis Terengganu” sebagai salah satu daripada program yang mampu menjadi realiti dan memartabatkan sektor pertanian negeri dan negara.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment