Páginas

Thursday 17 September 2015

Henti Aktiviti Luar Bilik Darjah

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 15 SEPTEMBER 2015


Semua sekolah di Terengganu terutama di daerah Kemaman diarahkan supaya menghentikan sebarang aktiviti luar bilik darjah serta-merta berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.


Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya  juga menyarankan beberapa langkah proaktif kepada setiap sekolah di daerah Kemaman sebagai langkah keselamatan kepada pelajar dan juga guru supaya tidak terdedah kepada cuaca yang buruk pada masa kini.

“Pihak sekolah diminta agar membatalkan semua perkhemahan yang telah dirancang sebelum ini sehingga keadaan kembali pulih.

“Selain itu, pihak sekolah juga diarahkan supaya membekalkan topeng muka serta air minuman kepada pelajar jika mereka mampu menyediakanya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bangunan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman,Kijal, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong dan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu dan Korporat JKR, Ir. Suhaili Mansor.

Shafruddin berkata, jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih dalam keadaan berbahaya dan merekodkan bacaan tidak sihat,  pihaknya akan mendapatkan keputusan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengarahkan menghentikan persekolahan sementara.

“Kita sering memantau keadaan IPU semasa. Jika IPU dicatatkan melebihi 170, sekolah akan diberi cuti. Ianya bergantung pada keadaan semasa dan juga pihak kementerian (KPM) untuk meluluskan cuti tersebut,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment