Sehubungan itu, saya, isteri dan semua lapisan kepimpinan negeri mengucapkan selamat menduduki ujian UPSR dengan hati yang tenang dan tabah.
Saya menaruh penuh kepercayaan dan berterima kasih kepada semua warga pendidik yang telah banyak berkorban dan berjuang tanpa mengharap balasan atau sanjungan daripada sesiapa.
Sebagai bekas seorang guru biasa, maka debaran di saat begini memang menjadi sejarah pahit manis saya yang berterusan dalam sanubari. Risau kita, resah kita, bimbang kita melebihi harapan ibubapa. Di saat-saat begini guru akan keluarkan semua ilmu di dada. Demi pelajarnya bagaikan rela berkorban sampai ke hujung nyawa. Itulah kerjaya seorang cikgu. Terima kasih sahabatku, mulianya sumbangan kalian maka kepada Allah saya berserah. Mudah-mudahan perjalanan hidup tuan puan dipandu ke jalan yang cerah.
Bagi pihak kerajaan dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), kita telah berusaha sehabis baik demi kejayaan pelajar yang menjadi sandaran negara. Selain daripada memberi tumpuan dalam penguasaan ilmu dan kemahiran, kita juga telah menganjurkan beberapa siri solat hajat. Pohon Allah SWT melapangkan perasaan dan daya fikir pelajar-pelajar sepanjang tempoh ujian UPSR berlangsung. Semua pihak yang terlibat bagi maksud ini saya dan barisan kepimpinan negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih. Budi baik tuan puan tentu sekali kami tidak akan lupakan.
Para ibu bapa yang saya hormati, saya ingin menyampaikan pesan, setelah kita berusaha sedaya upaya, maka bertawakkal pula kepada yang Esa. Setiap selepas solat berdoalah kepada Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Pengasih agar diperkenankan doa kita untuk menghadirkan kejayaan yang diredhai.
Rakyat Teganukita jangan bimbang, saya memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini akan tetap meletakkan pendidikan di hadapan. Kerajaan telah masukkan kalimat hebat `Memperkasa Pendidikan’ dalam prinsip ke-8 Transformasi Terengganu Baharu sebagai wadah pembangunan pendidikan di negeri tercinta ini. Hanyasanya sokongan andalah menjadi azimat kami dalam perjuangan membela nasib bangsa ini.
Akhir kalam, sekali lagi saya, isteri dan barisan kepimpinan negeri mengucapkan selamat menduduki ujian UPSR kepada semua pelajar tahun 6 negeri Terengganu. Terima kasih warga pendidik yang tabah, gigih dan sabar. Terima kasih PIBG kerana sentiasa membantu pihak sekolah. Terima kasih para pegawai JPNT dan terima kasih semua pihak termasuk agensi swasta, bantuan hebat ini Kerajaan Terengganu amat sanjungi. Gandingan erat ini molek benar kita teruskan secara istiqamah. Insya-Allah, berdoalah kita agar kejayaan berimpak besar dapat kita rasai bersama di akhir nanti dengan izin Allah.
Terima Kasih Semua
Selamat menjalani hidup #sehatisejiwa.
Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abd Rahman
Menteri Besar Terengganu
No comments:
Post a Comment