Páginas

Sunday 6 September 2015

Fit Malaysia Terengganu Paling Berjaya, Tarik 20,000 Penyertaan

AUTHOR: SURIATI ALI 5 SEPTEMBER 2015


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memuji kebijaksanaan Terengganu kerana mampu mengumpul kira-kira 20,000 peserta, terdiri pelbagai bangsa dan peringkat umur mengikuti Fit Malaysia 2015.


Katanya, program di Terengganu mencatatkan penyertaan paling ramai berbanding negeri lain walaupun sasaran hanya 15,000 peserta sahaja.

“Program sama akan diteruskan ke negeri berikutnya dan mengharapkan sambutan peserta sama meriah seperti di Terengganu.

“Sebagai hadiah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyegerakan dua projek penting seperti yang dirancang sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata di Program Fit Malaysia Terengganu di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Johari Abu Bakar.

Program anjuran Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri itu memfokuskan empat aktiviti utama iaitu berbasikal, larian, seni mempertahankan diri dan kecergasan.

Program sampingan, termasuk ruangan pameran, zumba, gerai jualan dan pelbagai program menarik untuk kanak-kanak.

Khairy memberitahu, projek pembinaan velodrom yang dianggarkan bernilai RM6 juta yang dirancang pembinaanya di Dungun dan yang pertama di Pantai Timur, dijangka akan dibangunkan dalam tempoh dua tahun bermula tahun depan.

“Manakala sebuah kompleks sukan di Hulu Terengganu yang menelan belanja RM50 juta juga akan dipercepatkan sebagai dorongan melahirkan lebih ramai jaguh sukan dari Terengganu,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment