Páginas

Sunday 27 September 2015

RMK-11: Terengganu Kemuka 16 Cadangan Projek Perumahan Rakyat

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 22 SEPTEMBER 2015


Terengganu mengemukakan 16 cadangan projek menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.


Kerajaan negeri berharap cadangan itu mendapat perhatian dan pertimbangan serius daripada daripada Jabatan Perumahan Negara (JPN) bagi memenuhi permintaan penduduk terhadap rumah mampu milik (RMM) yang semakin meningkat di seluruh Terengganu.

“Berdasarkan rekod melalui Sistem Pendaftaran Terbuka yang dikendalikan oleh Unit Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, terdapat 11, 963 permohonan RMM bagi daerah Kuala Terengganu.

“Angka ini jauh melebihi jumlah perumahan RMM yang disediakan oleh kerajaan negeri. Jadi PPR Hiliran yang menyediakan 1,002 unit rumah yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini banyak membantu mengatasi masalah perumahan negeri,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A. Latiff Awang.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Fasa 1 PPR Hiliran, Kuala Terengganu, kelmarin. Hadir sama, Pegawai Pembangunan Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Dalam pada itu, kerajaan negeri mensasarkan sebanyak 10,000 unit RMM menerusi 29 projek dapat dibangunkan di seluruh negeri.

Katanya, daripada keseluruhan projek berkenaan, 24 projek yang melibatkan 6,693 unit rumah sudah siap dibina, manakala selebihnya (1,232 unit) masih dalam pembinaan.

Selain itu juga, kerajaan negeri sudah melaksanakan sembilan projek melibatkan 3,541 unit rumah di seluruh Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Daripada jumlah itu, 3,354 unit rumah menerusi lapan projek sudah siap, manakala satu projek (160 unit) masih dalam pembinaan.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment