Páginas

Sunday 27 September 2015

Terengganu Bakal Tubuh Majlis Perundingan Wanita Perkasa Golongan Hawa

AUTHOR: NORAINI JUSOH 23 SEPTEMBER 2015


Kerajaan negeri bercadang untuk menubuhkan Majlis Perundingan Wanita Negeri Terengganu yang berperanan sebagai badan penasihat dan perundingan bagi memperkasa golongan hawa di negeri ini.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penubuhan majlis tersebut akan dilaksanakan di bawah portfolio Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri.

“Kita bersetuju untuk serahkan perkara ini kepada Dato’ Muhamad Pehimi Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri bagi menubuhkan majlis ini dengan kadar segera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof dan Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurut beliau, komuniti Majlis Perundingan Wanita Negeri Terengganu itu nanti akan mengenalpasti apa yang perlu dibuat termasuk dari segi program dan aktiviti, bajet, dan juga sasaran.

“Masalah yang akan dibawa menerusi pembentukan majlis itu termasuklah bagi mengatasi isu kemiskinan yang membelenggu ibu tunggal dan kes penceraian,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan negeri juga akan menambah baik program Pengurus Kediaman yang diperkenalkan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

“Kita akan tambah baik program ini dengan menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada mana-mana individu yang mempunyai kebolehan mengajar al-Quran, bahasa Arab, Inggeris dan kemahiran lain.

 “Selain ibu tunggal, kemungkinan program ini akan diperluas kepada lepasan universiti,” ujarnya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment