Páginas

Tuesday, 15 September 2015

497 Tandas Bertaraf Lima Bintang Menjelang 2018

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 14 SEPTEMBER 2015


Dr. Mohamad Omar (dua kanan) melancarkan pogram peningkatan kebersihan dan keselamatan tandas serta promosi kesedaran penjagaan kemudahan dan kebersihan tandas di fasiliti kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lobi Utama Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Hasmizi Hamid
*****
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyasarkan semua tandas di seluruh fasiliti jabatan kesihatan negeri ini mencapai penarafan lima bintang pada 2018 nanti.


Sebanyak 497 tandas melibatkan 105 di hospital serta 392 di Pejabat Kesihatan dan klinik-klinik di seluruh fasiliti kesihatan di Terengganu.

Buat permulaan, JKNT turut menetapkan bermula tahun depan, setiap tandas berkenaan hendaklah mendapat sekurang-kurangnya penarafan tiga bintang.

Pengarah JKNT, Dr Mohamad Omar, berkata pada tahun depan juga, setiap Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) turut perlu memastikan satu tandas di kawasan pentadbiran masing-masing memperolehi penarafan lima bintang sebagai rujukan pada 2016.

“JKNT juga menyasarkan pada 2017, sekurang-kurangnya 30 peratus dari jumlah tandas yang memperolehi tiga bintang akan diselenggara serta dinaik taraf bagi mendapat penarafan bintang lebih tinggi lagi dan begitulah seterusnya.

“Pihak kami mensasarkan pada pada 2018, kesemua tandas di fasiliti kemudahan kesihatan negeri mampu mencapai lima bintang serta tiada sebarang aduan berkaitan masalah tandas daripada orang awam,”katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian program peningkatan kebersihan dan keselamatan tandas serta promosi kesedaran penjagaan kemudahan dan kebersihan tandas di fasiliti kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lobi Utama Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Saifur Rahman Mohamad.


Dr Mohamad berkata, inisiatif itu sebagai mendokong kempen-kempen kebersihan yang digembeleng  kerajaan negeri, selain menepati polisi KKM selari dengan imej kementerian  yang mengutamakan kebersihan dan kesihatan.

“Selain itu, pemantauan yang berterusan akan dilakukan terhadap semua tandas bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan sentiasa dikekalkan.

“Pada masa yang sama juga, JKNT akan memastikan kerja pembaikian serta menaiktaraf tandas-tandas sedia ada akan dilaksanakan dari masa ke semasa,”katanya.

Selain itu, menurutnya,  pada tahun lalu pihak hospital di seluruh negeri menjalankan sistem pengredan penarafan bintang terhadap 23 tandas terpilih dan hasilnya hanya 17 peratus mendapat penarafan empat bintang, manakala 26 peratus mendapat tiga bintang serta lebih dari separuh (56 peratus) memperolehi dua bintang ke bawah.

Tambahnya, ia merupakan satu cabaran yang amat besar dan perlu dipikul bersama oleh setiap kakitangan JKNT bagi merealisasikan hasrat lebih besar, iaitu semua tandas awam berkenaan mampu mencapai penarafan lima bintang dalam tempoh tiga tahun lagi.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment