Páginas

Monday 16 November 2015

Ibu Bapa Perlu Kawal Obesiti Di Kalangan Kanak-Kanak

AUTHOR: MASTURA JAMALDIN 15 NOVEMBER 2015


Isu obesiti bukan lagi suatu isu baru dan hakikatnya ia dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun sekaligus turut menjadi pembunuh utama bagi golongan yang mengalami masalah itu termasuk golongan pelajar sekolah.


Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar, berkata penekanan perlu diberikan kepada program pendidikan dan kesedaran kepada golongan muda bagi membendung isu penyakit tidak berjangkit serta kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang kian meningkat.

“Selain amalan gaya hidup sihat dan aktif setiap hari, pemilihan makanan yang betul juga perlu dihebahkan kepada mereka.

“Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa, apatah lagi bila selera makan melampau yang dilayan tanpa berfikir panjang akan kesan baik dan buruk,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Menangani Obesiti Di Kalangan Pelajar Sekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh, Hulu Terengganu, semalam.

Dr Mohamad berkata, merujuk beberapa statistik membabitkan amalan pemakanan yang tidak dikawal, seorang daripada sepuluh kanak-kanak sekolah di Malaysia mengalami berat badan secara berlebihan atau obes.

“Dalam hal ini, ibu bapa yang mempunyai anak-anak lebih berat badan haruslah pandai menguruskan diet anak masing-masing kerana peranan yang dimainkan oleh mereka (ibu bapa) adalah penting.Mereka haruslah lakukan secara berterusan  dan lebih teliti supaya obesiti di kalangan anak-anak dapat dikurangkan.

“Pihak kesihatan juga akan mengadakan program menangani obesiti ini di kalangan semua pihak jabatan  termasuk kakitangan jabatan kesihatan supaya masalah obesiti dan lebih berat badan dapat dikawal daripada terus meningkat dari semasa ke semasa,”katanya.

Beliau berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan corak pemakanan anak masing-masing, selain bertanggungjawab menggalakkan mereka melakukan senaman dan mendisiplinkan mereka dalam soal pemakanan dan ini merupakan salah satu cara untuk menangani masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak hari ini.

Dalam pada itu, seramai 49 pelajar dari tiga sekolah di Hulu Terengganu terpilih untuk menyertai program yang dianjurkan oleh Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kuala Berang  selama enam bulan bermula Mac 2015.

Terengganu adalah antara negeri di Malaysia yang tidak terlepas daripada masalah obesiti akibat perubahan gaya hidup masyarakat serta amalan pemakanan yang tidak sihat.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment