Páginas

Sunday 15 November 2015

Wisma Audit Jadi Katalis Pembangunan Bandar Baharu Bukit Besar

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 11 NOVEMBER 2015

Wisma Audit Negeri Terengganu bakal dibangunkan di Kampung Pak Pa, Mukim Gelugor Raja, Kuala Terengganu.
*****
Wisma Audit Negeri Terengganu yang menelan belanja RM23 juta bakal dibangunkan di Kampung Pak Pa, Mukim Gelugor Raja, Kuala Terengganu menerusi Pelan Pembangunan Bandar Baharu Bukit Besar/Padang Hiliran.


Bangunan dua tingkat yang memiliki reka bentuk tradisi Terengganu dijangka siap dua tahun dari sekarang,  akan menjadi katalis kepada pembangunan bandar baharu berkenaan.

Menteri Besar, Dato ’Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata wisma audit menjadi bangunan Jabatan Persekutuan kedua selepas Jabatan Kimia yang dibangunkan di lokasi itu, sebaik kerja menambun tanah di kawasan berkeluasan 1.4 hektar untuk pembinaan wisma itu selesai pada 2009.

Sehingga kini, 12 jabatan selesai membuat pengambilan balik tanah untuk pembinaan bangunan masing-masing di kawasan bandar baharu itu.

“Kawasan bandar baharu ini akan menempatkan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri secara berpusat yang bertujuan memberikan kemudahan kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan cepat, lancar dan mudah.

“Malah, pembangunan di kawasan ini juga meliputi kawasan komersial, perumahan dan juga pengangkutan,”katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Negeri, Ir Rosli Othman dan Pengarah Audit Negeri Terengganu, Roslan Abu Bakar.

Ahmad Razif berkata, bagi menyokong pembangunan wisma itu,  kerajaan negeri menyediakan laluan sementara bagi kegunaan dalam urusan pembinaan.

Tambahnya, dengan pembinaan wisma itu akan menjadi pendorong kepada jabatan lain yang memiliki tanah di kawasan itu untuk melakukan tindakan serupa.

Menurutnya, Terengganu menjadi negeri ketujuh selepas Perak, Melaka, negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Pahang yang memiliki Wisma Audit sendiri.

Katanya, pada masa sekarang pegawai audit di Terengganu berada di dua tempat, iaitu di Wisma Persekutuan dan di bangunan yang disewa di Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu.”

“Amat wajar Wisma Audit ini dibina agar pegawai berada dalam satu bumbung dan memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan jabatan,”katanya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pemaju projek itu supaya mematuhi jadual yang dietapkan berikutan sebarang kelewatan bukan sahaja merugikan pihak kontraktor tetapi juga kerajaan terutama Jabatan Audit Negara khususnya dari aspek kos dan masa.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment