Páginas

Wednesday 18 November 2015

Kemuka Laporan Lengkap Siasatan Kes Buli Selewat-Lewatnya Dua Minggu

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 17 NOVEMBER 2015


Kerajaan negeri memberi tempoh selewat-lewatnya dua minggu kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) supaya mengemukakan laporan lengkap siasatan berhubung klip video insiden buli di sebuah sekolah rendah di Besut, yang sedang menjadi viral di media sosial kini.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, berkata pihaknya yang memandang serius perkara itu mahu JPNT segera menghantar laporan mengenai punca kejadian sebelum mengambil tindakan susulan serta mengenakan sebarang hukuman.

Katanya, pihaknya juga mahu siasatan dibuat secara menyeluruh supaya wujud keadilan bagi semua pihak yang terlibat sama ada kepada mangsa mahupun enam suspek terbabit.

 “Saya mahu pegawai pendidikan negeri, daerah, guru besar dan semua pihak yang terlibat supaya  melihat secara jelas, adil dan saksama serta tidak meletakkan kesalahan terhadap perkara yang belum pasti lagi.

“Sebab dalam pendidikan berlaku pelbagai proses, bermain juga pendidikan dan kita tidak boleh terlalu emosi dengan insiden yang berlaku itu kerana perlu mengetahui apa permasalahan enam orang pelajar yang membuli dan masalah mangsa yang lebih besar fizikalnya tetapi tidak mampu melawan itu yang menjadi persoalan yang perlu kita siasat apa punca yang sebenarnya,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas pengumuman keputusan Ujian penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015,  di JPNT Kuala Terengganu, hari ini.

Keputusan UPSR itu diumumkan oleh Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin.

Selain itu juga, beliau berkata, sekiranya terbukti terdapat kecuaian di pihak pentadbiran sekolah, pihaknya mahu JPNT bertindak tegas dan tanpa kompromi termasuk menukarkan guru besar dan guru yang terlibat ke sekolah lain.

“Kita dikejutkan dengan viral kes buli di sebuah sekolah di daerah Besut. Analisis yang saya lihat kalau insiden itu ditakrifkan sebagai buli boleh dipersoalkan kerana berlaku di ruang terbuka, suasana yang membolehkan mangsa lari dan sebagainya, kedua, yang terlibat keenam-enam pelajar itu agak kecil berbanding mangsa yang dibuli.

“Saya lihat satu karaktor dari segi psikologi apabila kanak-kanak yang dilihat besar badannya tidak melawan bererti satu benda yang menyeronokkan mereka. Tidak dilihat sebagai buli kerana seolah-olah mereka melepaskan keseronokan dalam psikomotor atau pergerakan fizikal,”katanya.

Rakaman berdurasi 6 minit 29 saat itu menunjukkan beberapa murid dianggarkan berusia antara 10 hingga 12 tahun membuli mangsa yang juga murid sekolah berkenaan di percayai di surau sekolah.

Laporan polis mengenai kejadian itu dibuat bapa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut jam 9 pagi, kelmarin.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment