Ahmad Razif (depan) turut menyertai kayuhan sejauh 7 kilometer dalam program KL Car Free Morning yang bermula seawal pukul 7 pagi bersama lebih 2,000 peserta lain di Dataran DBKL. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
*****
Terengganu bakal mengikut jejak Kuala Lumpur bagi penganjuran kempen `Pagi Tanpa Kenderaan’ pada minggu pertama setiap bulan.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri berhasrat mengambil pendekatan yang sama dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi penganjuran gaya hidup sihat itu menerusi perbincangan awal dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Buat masa sekarang, kita juga adakan sesi kayuhan ini tetapi hanyalah pada sesuatu program dan bukannya berterusan seperti yang diadakan di Kuala Lumpur.
“Kita akan mulakan dahulu dengan MBKT dan kemungkinan dilaksanakan setiap hari Sabtu minggu pertama pada setiap bulan,” katanya.
Beliau ditemui selepas tamat kayuhan berbasikal program KL Car Free Morning di Dataran DBKL, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Pesona Terengganu, Dato’ Mustafar Khalid.
Kayuhan sejauh tujuh kilometer tersebut turut disertai lebih 2,000 peserta dari Kuala Lumpur dan juga Terengganu.
Aktiviti ‘KL Car-Free Morning’ anjuran DBKL itu membolehkan segenap lapisan masyarakat menunggang basikal bagi mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Acara itu diadakan pada Ahad minggu pertama setiap bulan.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment