Páginas

Monday, 23 November 2015

Terengganu Cadang Pintar al-Quran Diperluas Ke Sekolah Menengah

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 22 NOVEMBER 2015


Terengganu bercadang memperluaskan Program Pintar al-Quran kepada pelajar di sekolah menengah bagi melahirkan lebih ramai generasi yang   celik kitab suci itu, pada masa depan.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program  berkenaan yang ketika ini dilaksanakan di tadika dan sekolah rendah berjaya memupuk minat membaca al-Quran di kalangan pelajar sekolah rendah serta awal usia.

“Apabila memasuki sekolah menengah, masih ada yang tidak dapat menguasai pembacaan al-Quran dengan baik, jadi sudah sampai masanya program ini diperluaskan ke peringkat pelajar sekolah menengah pula.

“Usaha ini akan dinilai semula serta diuruskan oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT) supaya mencari kaedah sesuai agar semua remaja Islam di Terengganu mampu menguasai bacaan al-Quran dengan baik terutama dari aspek hukum tajwid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-Kanak Tadika Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, kelmarin.

Ahmad Razif berkata, skop Pintar al-Quran juga akan diperluaskan kepada hafazan muqaddam jika mendapat persetujuan daripada pihak YIT kerana ianya amat bermanfaat untuk diprakttikan kanak-kanak dalam solat mereka.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengarah YIT, Dato’ Dr. Alias Abdullah.

Seramai 11,892 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran pada tahun ini melalui program tersebut yang dijalankan serentak di semua daerah.h

Selain itu, Menteri Besar juga mahu program khatam al-Quran itu dilaksanakan dengan melibatkan kakitangan kerajaan negeri pada tahun depan.

“Program yang baik seumpama ini perlu diperkasakan dan menyeluruh dari peringkat kanak-kanak, remaja hingga dewasa dan sudah pasti kakitangan kerajaan negeri adalah golongan yang paling tepat untuk memulakannya,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment