Páginas

Sunday 22 November 2015

Tabika Kemas Tidak Selaras Silibus Sekolah Rendah Disangkal

AUTHOR: FAUZI MOHD 20 NOVEMBER 2015

Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata pada Majlis Hari Graduasi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak. Foto oleh Harish Fadzillah.
*****
Usaha menyediakan pelbagai kemudahan secara berterusan termasuk di peringkat prasekolah membuktikan bahawa kerajaan serius serta memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan.


Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri, Dr. Faridah Mat berkata, anggapan sesetengah pihak bahawa Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas tidak mempunyai hubung kait dengan pendidikan di sekolah rendah serta sukatannya tidak menepati kehendak semasa adalah tidak benar.

“Jika kita perhalusi, kejayaan kanak-kanak yang belajar di Tabika Kemas selama ini bukan sahaja dalam bidang akademik serta pembelajaran dalam bilik darjah, malah meliputi persekitaran mereka.


“Konsep Tabika Kemas juga adalah selaras dengan sifat semula jadi kanak-kanak, iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba sebelum konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Graduasi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak, petang semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman. Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.

Pada majlis itu, seramai 819 murid menamatkan pendidikan peringkat prasekolah di 106 buah kelas dalam Parlimen Kuala Nerus.

Tambah Dr. Faridah, konsep seperti itu mampu memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak me­nguasai kemahiran asas dan pe­ngalaman yang diperoleh akan memudahkan mereka menerima pendidikan formal apabila memasuki sekolah rendah.

Menurutnya, faktor kejayaan anak-anak tersebut adalah usaha mereka sendiri dan guru-guru hanyalah pembimbing dalam menentukan kecemerlangan dan Tabika Kemas adalah platform bagi mereka belajar serta membina keyakinan diri supaya potensi dapat dikembangkan.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment