Páginas

Monday 23 November 2015

Insentif SSPN-i Pelaburan Pendidikan Masa Depan

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 23 NOVEMBER 2015


Seramai 2,558 pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang memperolehi keputusan 5A baru-baru ini menerima imbuhan dari kerajaan negeri semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata insentif tersebut terus disalurkan ke akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) pelajar.


“Untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.279 juta kepada 2,558 pelajar yang memperolehi keputusan 5A dimana terus dimasukkan ke akaun SSPN-i mereka.

“Dengan insentif ini, diharapkan agar ia menjadi perangsang kepada pelajar yang kurang cemerlang untuk turut mencipta kecemerlangan,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan UPSR Negeri Terengganu 2015 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan Dato’ Shamsul Anuar Nasarah.

Pada majlis tersebut, selain daripada penyampaian insentif kepada pelajar UPSR turut diadakan penyampaian Anugerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Terbaik UPSR 2015 dan Anugerah Pencapaian Sekolah Terbaik UPSR 2015.

Bagi peratus semua A terbaik daerah dimenangi oleh PPD Kuala Terengganu dengan catatan 15.11 peratus manakala PPD Hulu Terengganu membolot dua anugerah iaitu Gred Purata Daerah Terbaik (2.02) dan Lulus Semua Mata Pelajaran Terbaik Daerah (78.69%).

Anugerah Pencapaian Sekolah Terbaik dalam Peratus Semua A Terbaik diterima oleh SK Rantau Petronas (44.68%) dan SK Tapu pula menerima anugerah Gred Purata Sekolah Terbaik (1.30).

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment