Ghazali menyampaikan sijil penghargaan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Rantau Petronas, Kemaman, Khadijah Sulaiman, selepas mengumumkan keputusan UPSR 2015, di JPNT, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
*****
Terengganu berjaya menterjemahkan prinsip `Memperkasakan Pendidikan’ menerusi konsep Terengganu Transformasi Baharu (TTB) berikutan berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila 2,558 dari 20,121 calon meraih keputusan cemerlang 5A pada tahun ini.Jumlah itu meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 12.70 peratus, berbanding 12.10 peratus pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata pencapaian UPSR pada tahun ini menunjukkan keputusan lebih baik berbanding 2014 dari segi kuantiti dan kualiti di mana gred purata negeri pada tahun ini ialah 2.10 berbanding 2.15 pada tahun lepas.
Katanya, lulus semua mata pelajaran bagi tahun ini juga meningkat 0.2 peratus kepada 74.8 peratus, berbanding 74.6 peratus tahun lalu.
“Saya bagi pihak jabatan juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu yang sangat prihatin dengan bidang pendidikan negeri ini sekaligus meletakkan Terengganu sebagai antara negeri yang cemerlang pendidikannya di Malaysia, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika mengumumkan keputusan UPSR 2015, di JPNT Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.
Shafruddin berkata, sasaran kerajaan negeri 20 peratus calon UPSR mendapat 5A masih belum tercapai namun menegaskan pencapaian 12.70 peratus mendapat 5A pada tahun ini adalah keputusan terbaik yang pernah dicatatkan Terengganu, sejak kebelakangan ini.
“Kita akan terus berusaha untuk kekalkan sasaran 20 peratus itu dan menganggap UPSR pada 2016 lebih mencabar dengan penambahan satu lagi subjek menjadikan jumlah bilangan sebanyak enam subjek diambil calon UPSR tahun depan,”katanya.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment