Páginas

Monday 30 November 2015

RM2.103 Bilion Bajet Terengganu 2016

AUTHOR: FAUZI MOHD 30 NOVEMBER 2015


Kerajaan negeri hari ini membentangkan Bajet 2016 dengan anggaran peruntukan sebanyak RM2.103 bilion daripada RM2.02 bilion hasil yang dijangka diperolehi.


Bertemakan ‘Menjayakan Transformasi Mensejahterakan Rakyat’, bajet yang kadarnya lebih rendah berbanding RM2.4 bilion tahun lalu dirangka dengan mengambil kira pandangan dan kemahuan rakyat melalui pelbagai saluran.

Ianya merupakan pengurangan sebanyak 15.33 peratus iaitu RM380 juta berbanding tahun 2015.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, langkah dan pendekatan dirancang bagi mengurangkan bebanan dan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat serta keberkesanan pemba­ngunan negeri agar dapat memberikan manfaat le­bih besar dan berterusan.

Ketika berucap membentangkannya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, beliau menyifatkan perancang­an yang akan diterjemahkan itu mendukung proses pembaharuan melalui agenda transformasi ekonomi negeri.

Ahmad Razif menegaskan, Bajet 2016 digerakkan dengan lima strategi iaitu;

(1) Melonjakkan pertumbuhan melalui Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

(2) Pengurusan perbelanjaan awam yang cekap lagi berhemat.

(3) Pengukuhan program pengupayaan berteraskan ekonomi keperluan rakyat.

(4) Pembinaan kapasiti sumber modal insan yang berdaya tahan.

(5) Peningkatan kemudahan awam yang mendamaikan hidup rakyat.

“Dengan penyusutan kutipan hasil yang dianggarkan bagi tahun 2016, kerajaan menyediakan dasar pengurusan bajet defisit. Perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM2.103 bilion berbanding RM2.02 bilion hasil yang dianggar bakal diperolehi,” katanya.

Ahmad Razif memberitahu, bagi melaksanakan semua stra­tegi Bajet 2016, kerajaan mencadangkan peruntukan RM2.103 bili­on untuk Perbelanjaan Mengurus, RM1.139 bilion untuk pembangunan dan RM8.88 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Di bawah Perbelanjaan Mengurus katanya, sebanyak RM85.59 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM2.017 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

“Di bawah Perbelanjaan Bekalan pula sebanyak RM1.531 billion diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM267.2 juta untuk perbelanjaan Emolumen, RM202.02 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM16.42 juta untuk Aset dan RM1.16 juta untuk Lain-Lain Perbelanjaan.

“Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM700 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan, RM204 juta bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun, RM183.37 juta bagi pemberian kepada Pelbagai Agensi dan Kumpulan Wang, RM51.57 juta bagi bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM338.24 juta bagi pelbagai program yang memberi impak terus kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, dari segi agihan mengikut sektor-sektor pembangunan, Menteri Besar menjelaskan agihannya adalah seperti berikut;

(1) RM560.57  juta atau 49 peratus untuk sektor sosial yang meliputi sub-sektor pendidikan, pembangunan masyarakat, perumahan, pembangunan bandar dan luar bandar, kerajaan tempatan, sukan dan kesihatan.

(2) RM232.25 juta atau 20 peratus disediakan untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sub-sektor pelancongan, pertanian, IKS, infrastruktur dan kemudahan awam.

(3) RM354.15 juta atau 31 peratus diperuntukkan untuk sektor pentadbiran yang meliputi sub-sektor pembangunan ICT, pentadbiran am dan projek khas.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment