Program yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 13 November lalu anjuran Berita Harian dengan kerjasama Kerajaan Terengganu melalui Sekretariat Pesona Terengganu serta beberapa agensi lain.
Majlis pelepasan peserta program berkenaan yang membabitkan 45 buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan II Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Ab Rahman di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata, peningkatan peserta kepada 245 orang berbanding 180 orang tahun sebelumnya, menunjukkan program di Tasik Kenyir masih mendapat sambutan menggalakkan di kalangan kaki pancing.
“Tasik Kenyir merupakan salah satu tasik ekopelancongan utama di Malaysia dengan pelbagai keistimewaan ditawarkan kepada pengunjung yang hadir dan antaranya adalah tumpuan kepada kaki pancing yang inginkan pengalaman berbeza.
“Program BOTR ini merupakan salah satu bukti yang menunjukkan Tasik Kenyir masih lagi dijadikan sebagai lokasi bagi kaki pancing apabila ada peningkatan dicatatkan dari bilangan penyertaan peserta berbanding tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup BOTR 2015 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu Ibrahim Mohamad, Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat PESONA, Dato’ Mustafar Khalid.
Tambahnya, program yang berlangsung buat kali ke-6 berturut bermula 2009 akan sering diperkemaskan dari semasa ke semasa bagi menarik lebih ramai peserta pada masa akan datang.
“Perbincangan bersama pihak Berita Harian akan dilakukan bagi menarik lebih ramai peserta bukan sahaja dari dalam negara malahan luar negara termasuk dari China,” katanya.
Pada program tersebut, Kumpulan Keramat Holding dari Kuala Lumpur berjaya merebut takhta juara bagi Kategori Casting sekaligus meraih wang tunai RM15,000 serta hadiah iringan lain.
Manakala Kumpulan Keramat Holdings 2 pula meraih naib juara dengan membawa pulang RM10,000 serta hadiah iringan dan tempat ketiga (RM5,000) dimenangi oleh Kumpulan JPS.
Bagi Kategori Individu, Romzi Abdullah berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000 apabila menewaskan peserta-peserta lain dan sekaligus merebut gelaran juara.
Nain juara bagi kategori tersebut pula disambar oleh Mohd Zaki Mat Zain manakala tempat ketiga dimenangi oleh Khairol Azuan Haron. Masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM3,000 berserta hadiah iringan.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment