Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata keseluruhan perbelanjaan pada tahun depan itu juga memberi penekanan kepada semua golongan rakyat khususnya dengan menumpukan di sektor pendidikan dan pertanian selain menambah peruntukan bantuan untuk kebajikan rakyat.
“Kita tidak akan sesekali mengurangkan kesejahteraan dan kepentingan rakyat, malahan dari segi bantuan kepada rakyat, pada tahun depan kita akan pertingkatkan lagi.
“Cuma kita akan mengurangkan 30 peratus peruntukan untuk pentadbiran sebagai langkah penjimatan supaya kesejahteraan dan kepentingan rakyat kita tidak akan kurangkan. Rakyat jangan bimbang dan tunggu pembentangan bajet pada 30 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketengah dan UniSZA, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri yang sebelum ini membayangkan untuk mengurangkan jumlah keseluruhan Bajet 2016 ekoran sumber pendapatan negeri melalui hasil petroleum telah berkurangan akibat penurunan harga minyak mentah dunia.
“Kita melihat ada lagi sumber kewangan dan komitmen daripada Kerajaan Pusat untuk menjelaskan bayaran dan membantu kerajaan negeri, maka kita akan mempertingkatkan perbelanjaan kita (Bajet 2016).
“Bantuan dana raya, pakaian persekolahan serta insentif kecemerlangan pendidikan dan sukan akan tetap diteruskan seperti biasa.
Beliau menambah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Terengganu juga diminta supaya menyediakan sumbangan untuk menampung perbelanjaan negeri terutama dalam sektor pendidikan, seperti bantuan biasiswa dan penghantaran pelajar ke luar negara bermula tahun depan.
Katanya, GLC sebagai sumber pendapatan sampingan kepada kerajaan yang memberikan khidmat sosial korporat (CSR) kepada rakyat hasil keuntungan yang diperolehi syarikat itu.
Selain itu, katanya, rakyat juga bakal mendapat manfaat menerusi bajet tahun hadapan, apabila 15 kawasan DUN akan terlibat dengan projek perumahan baharu untuk memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment