Mereka yang terpilih terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang kerjaya termasuk pendidik, pegawai kerajaan, ibu tunggal serta sukarelawan yang berjaya mendidik anak-anak hingga berjaya dalam akademik serta sahsiah, selain memberi sumbangan sosial terhadap masyarakat.
Anugerah istimewa kepada golongan itu disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.
Majlis sambutan sempena Jelajah Keluarga Bahagia 2015 Negeri Terengganu, turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.
Penerima anugerah adalah Dato’Samsiah Awang, Azma Senun, Zaini @ Daini Ali, Rahmah Daud, Zaitun Salleh, Dato’ Fatimah Hamat, Wan Zaiton Wan Abdul kadir, Foo Boh Boi, A Fatima Anita dan Sarimah Desoh.
SYA_3656 copy
Seorang penerima, Samsiah yang juga Pengarah Kanan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Masjid di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu pula menyifatkan anugerah itu sangat bermakna dan suatu pengiktirafan yang besar kepada golongan ibu seperti beliau.
Beliau yang turut komited dalam tugas dan pernah menerima empat kali anugerah perkhidmatan cemerlang di peringkat jabatan dan sekali di peringkat negeri, memiliki sembilan anak dengan enam daripada mereka berjaya melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi dan menjawat jawatan penting di jabtan masing-masing.
Tiga daripada anak beliau lulusan bidang perubatan, sementara tiga lagi masing-masing jurusan kewangan, fizik dan pengajian Islam.
“Selain tugas yang menuntut tanggungjawab yang besar, saya juga mengutamakan pendidikan terhadap anak-anak dan pastinya sentiasa berkorban bagi memberi pendidikan formal dan tidak formal kepada mereka. Alhamdulillah mereka berjaya dalam bidang dan lapangan hidup masing-masing selain tidak lupa dengan tuntutan sebagai hambaNya,”katanya.
Seorang lagi penerima Azma, 58, berkata resipi kejayaan mendidik anak-anak adalah dengan mengamalkan bacaan ayat al-Quran sejak di awal usia kehamilan selain mengajar sendiri anak-anak membaca kitab suci di rumah.
“Semua anak-anak berjaya khatam al-Quran sejak berusia lapan tahun dan kini tiga daripada mereka merupakan penyarah kanan, seorang lulusan bidang perguruan dan yang bongsu pula menuntut di bidang perubatan.
“Dalam mendidik anak-anak, yang paling utama adalah didikan asas agama kerana ia dapat membentuk keperibadian mereka,”katanya.
Selain kejayaan mendidik anak-anak, beliau yang juga guru besar di Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu, turut mendapat anugerah khidmat cemerlang sebanyak tiga kali sepanjang 38 tahun mencurah bakti di bidang pendidikan.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment