Páginas

Thursday 21 May 2015

RMK-11 Beri Faedah Besar Kepada Rakyat – MB

AUTHOR: FAUZI MOHD 21 MAY 2015


Rancangan Malaysia Ke-11 dijangka memberi impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat di mana enam teras yang diperkenalkan melibatkan pelbagai golongan rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata RMK-11 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga mempunyai kesan yang positif kepada rakyat bukan sahaja kepada generasi yang ada sekarang malah generasi yang akan datang.


“Ini kerana apabila Perdana Menteri memperkenalkan teras strategik yang keempat, menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan, ini sekaligus dapat memelihara dan memulihara alam sekitar dan sumber asli supaya ia akan tahan lama.

“Ia sekaligus memberi peluang kepada generasi akan datang dapat menikmati faedah dan kebaikan yang kita nikmati sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Razif berkata, enam teras yang diumumkan juga dapat memberi kelancaran yang baik kepada pembangunan negara serta memberi garis panduan yang lebih baik bagi menghampiri Wawasan 2020 yang akan dicapai dalam tempoh lima tahun lagi.

Beliau turut berkata, RMK-11 kali ini dibuat berdasarkan kepada konsep inklusif di mana suara rakyat juga diambil kira bagi memberi keselesaan kepada mereka dan menjaga keharmonian kepelbagaian kaum di Malaysia.

“Antara teras yang memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat ialah mentransformasikan perkhidmatan awam untuk produktiviti dan merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran,” ujarnya.

Selain itu, Ahmad Razif turut berkata RMK-11 akan berjaya dicapai sekiranya semua rakyat dalam pelbagai lapisan memainkan peranan masing-masing.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment