Páginas

Sunday, 10 May 2015

UniSZA Cipta Rekod Tulisan Kalimah Allah Terpanjang

AUTHOR: FAUZI MOHD | 7 MAY 2015


Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Projek Tulisan Sejuta Kalimah Allah yang menggunakan lukisan cat air terpanjang pernah dilakukan di negara ini.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBOR, Mohd Azwarin Ahmad kepada Naib Canselor Unisza Prof Dato’ Dr Yahaya Ibrahim sambil disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada majlis pelancaran Karnival Unisza Universiti Komuniti ‘Dari Mata Turun ke Hati’ di Padang Lapang Sasar kampus Gong Badak, hari ini.


Juru Perunding Projek Tulisan Sejuta Kalimah, Abdul Halim Omar berkata, program tersebut yang dilaksanakan oleh 60 pelajar Sains Sosial (antropologi dan dakwah) dengan kerjasama Pusat Kesenian dan Warisan Unisza telah memakan masa selama 16 hari bermula 18 April.

“Para pelajar kita secara bergilir-gilir menyiapkan penulisan kalimah Allah di mana ia bermula seawal 8.30 pagi hingga 11 malam tanpa henti sepanjang 16 hari itu.

“Hasil karya lukisan cat air ini dihiasi dengan corak berkonsepkan identiti Islamik dan tidaklah menjurus kepada seni khat,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.


Dalam majlis tersebut, Ahmad Razif turut menyempurnakan satu penulisan kalimah Allah yang kesejuta sebagai simbolik bagi mengakhiri penulisan tersebut.

Menurut Abdul Halim, apa yang uniknya lukisan cat air ini adalah campuran cat dan air yang menggunakan air zam-zam sepenuhnya.

“Fakta menarik tentang sejuta kalimah jika dilihat dari sudut lain, panjang kalimah ini boleh disamakan dengan panjang kalimah ialah 8.528 kilometer dan ia juga boleh disamakan dengan keluasan 95 kali padang bola ataupun bersamaan 19 kali ketinggian Menara Berkembar Petronas KLCC,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata terdapat lima orang bukan Islam telah menawarkan diri secara sukarela terlibat dalam program penulisan sejuta kalimah Allah itu.

“Alhamdulillah, mereka sendiri berminat untuk menyertai sehingga habis dan mereka menyatakan tiada tekanan dihadapi bagi mereka mengenali Islam,” katanya.

Karnival selama tiga hari sehingga Sabtu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, antaranya sukan rakyat, bengkel, temuduga terbuka, klinik memanah, busking, pemeriksaan kesihatan, forum perdana, malam kebudayaan kesenian Islam dan banyak lagi.

Teganukita

No comments:

Post a Comment