Páginas

Wednesday 27 May 2015

TDM Catat Pendapatan RM75.5 Juta Suku Pertama 2015

AUTHOR: NORAINI JUSOH 27 MAY 2015


TDM Berhad (TDM atau Kumpulan) mencatatkan pendapatan sebanyak RM75.5 juta bagi suku pertama 2015 yang berakhir pada 31 Mac lalu, iaitu sebanyak 14 peratus lebih rendah berbanding RM87.4 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.


Pada masa yang sama, Kumpulan telah mencatatkan kerugian sebanyak RM8.2 juta sebelum cukai, penurunan sebanyak 143 peratus daripada RM19.2 juta keuntungan sebelum cukai yang dibuat pada tempoh yang sama sebelumnya.

Pendapatan yang lebih rendah dan kerugian dicatatkan oleh Kumpulan adalah disebabkan oleh hasil pendapatan yang lebih rendah dan kerugian sebelum cukai yang dicatatkan oleh Bahagian Perladangan.

Pada suku ini, pendapatan Bahagian Perladangan turun 35 peratus lebih rendah kepada RM35.5 juta daripada RM54.8 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Pendapatan yang lebih rendah telah mengakibatkan kerugian sebelum cukai sebanyak 189 peratus kepada RM13.3 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM14.9 juta bagi tempoh yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Badrul Hisham Mahari berkata, punca utama kerugian yang dialami oleh Bahagian Perladangan adalah disebabkan oleh harga minyak sawit dan isirong sawit yang rendah iaitu masing-masing memperoleh harga RM2,275 satu tan metrik dan RM1,609 satu tan metrik.

“Harga ini adalah 14 peratus dan 16 peratus lebih rendah daripada RM2,654 per tan metrik dan RM1,914 satu tan metrik dalam tempoh yang sama sebelumnya.

“Pada masa yang sama, jualan minyak sawit mampan yang diperakui juga lebih rendah sebanyak 18 peratus dalam suku pertama 2015,” ujarnya.

Katanya, ia disebabkan pengeluaran minyak sawit mentah dan isirong sawit lebih rendah, masing-masing turun sebanyak 19 peratus dan 15 peratus, daripada 17,004 tan metrik dan 4,564 tan metrik pada tempoh yang sama sebelumnya kepada 13,842 tan metrik dan 3,880 tan metrik.

“Selain itu, kerugian yang lebih tinggi sebanyak RM4.5 juta untuk operasi permulaan kami di Indonesia dan kos penanaman semula/operasi tidak matang yang lebih tinggi di ladang-ladang Malaysia sebanyak RM1.8 juta turut menyumbang kepada kerugian Kumpulan sebelum cukai,” katanya.

Sementara itu, bahagian Penjagaan Kesihatan Kumpulan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Dalam suku pertama 2015, Bahagian Penjagaan Kesihatan mencatatkan pendapatan yang meningkat sebanyak 23 peratus daripada RM32.6 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya kepada RM40 juta. Bahagian ini juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5.1 juta, 19 peratus lebih tinggi daripada RM4.3 juta yang dibuat dalam suku yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan bilangan pesakit dalam dan jumlah hari pesakit menerima rawatan di dalam hospital telah menjadi penyumbang utama kepada prestasi Bahagian Kesihatan yang kukuh ini.

“Selain itu, ia juga disebabkan penambah baik dalam pelbagai kes pesakit terutamanya selepas Pusat Perubatan Kuantan (KMC) baru di Indera Mahkota, Pahang mula beroperasi pada November lalu,” ujarnya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment