DARI JENDELA TOK KI | 05 Mei 2015
TINDAKAN kepemimpinan Pemuda Pas melakukan pusingan U (U-Turn) di Permatang Pauh memang diduga dan semacam terpaksa. Suatu ketika mereka bercadang memboikot calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi pada ketika lain menerima arahan kepimpinan tertinggi supaya ambil jalan selesai sedangkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PKR sendiri tidak pula menarik balik penolakan mereka terhadap hudud. Bermakna isu hudud masih tidak selesai.
Kalau jadi, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan bakal dibawa ke Parlimen pada masa depan dan PKR akan menentang enakmen itu bersama dengan DAP. Khalayak bertanya apa logiknya Pas menyokong PKR di Permatang Pauh sedangkan penolakan terhadap hudud bakal berlaku di Parlimen dan PKR mengambil sikap tidak menyokong.
Ketua Penerangan Pas kawasan Bagan, Azmi Jaafar dengan sekumpulan orangnya mengadakan perhimpunan di depan masjid Batu, Kampung Pertama dengan membawa sepanduk mengecam DAP dan PKR. Nampaknya kemelut Pas-PKR ini tidak boleh dikatakan selesai. Nurul Izzah Anwar, anak Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengakui hal ini.
Wan Azizah boleh lega dengan dukungan DAP tetapi orang Pas yang membantu dikatakan daripada kelompok Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma). Ia berkait juga dengan percaturan kelompok pro-ulama dalam Pas dan kelompok Anwariyyun.
Sekiranya Barisan Nasional (BN) dapat mengurangkan majoriti PKR, ini sudah baik. Malah seperti ramalan Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin BN boleh menang kerana situasi kali ini agak berbeza. BN mengemukakan calon anak tempatan, berwibawa dan mesra rakyat.
Sokongan kepada Wan Azizah umumnya dari DAP, PKR dan Pas. Sekiranya berlaku protes senyap dari Pas dan sokongan yang semakin bertambah terhadap kempen BN bukan mustahil BN boleh buat kejutan. Jika ini terjadi kesannya agak besar kerana Permatang Pauh dikatakan lubuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kroninya.
Pas sejak di Kajang dan isu Menteri Besar Selangor lagi merasa tidak selesa dengan Wan Azizah. Lebih-lebih lagi nama Wan Azizah dicadangkan oleh DAP sebagai Ketua Pembangkang tanpa lebih awal mencari muafakat dengan Pas. Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum lagi turun berkempen di Permatang Pauh. Ini menimbulkan tanda tanya.
Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah II bagi Pas Permatang Pauh dan kepimpinan ulama Pusat adalah isu prinsip. Ini tidak ada tolak ansur. Ini adalah sebahagian daripada perjuangan Pas. Penulis tidak fikir orang Pas di Permatang Pauh menjadikan isu hudud suatu perkara yang boleh dipermain-mainkan.
Dalam pemilihan kepimpinan Pas kawasan yang sedang berjalan ternyata akar-umbi Pas menolak kepimpinan Pasma, profesional dan Anwariyyun. Penulis percaya akar umbi Pas di Permatang Pauh mungkin mengambil strategi tidak keluar mengundi atau kalau mengundi pun sekadar menampil diri dan belum tentu mengundi Wan Azizah.
Tidak mungkin PKR baik di peringkat Parlimen Permatang Pauh (Ketua Pemudanya) mahupun di peringkat kepimpinan Pusat menarik balik hudud kerana DAP tidak mengambil sikap sedemikian. Sekiranya PKR melakukan U-Turn terhadap hudud, hubungan dalam Pakatan Rakyat akan pecah dan Anwar tidak akan membenarkan ini berlaku.
Justeru Parlimen Permatang Pauh adalah “testing-ground” atau landasan percubaan setakat mana isu hudud boleh menyebabkan akar-umbi Pas rasa tersinggung atau Wan Azizah dan Azmin bakal hilang dukungan.
Sekiranya Wan Azizah menang dengan majoriti kecil bermakna kekalahan bagi Pas kerana orang yang menentang hudud masih boleh bertahan dan sebahagian dukungannya ialah pengundi Pas.
Jika ditakdirkan Wan Azizah kalah ini adalah lembaran baharu bagi politik Permatang Pauh dan Malaysia kerana politik warisan dan kroni ditolak rakyat. Legasi Anwar Ibrahim bakal pupus. Ini memberi kesan kepada jangka panjang perjuangan PKR dan boleh menimbulkan krisis dalam kepimpinan PKR sendiri.
Justeru kepimpinan UMNO dan BN di Permatang Pauh harus merapatkan saf dan lebih terancang strategi kempennya. Mengeluarkan manifesto adalah sesuatu yang baik dan PKR tanpa manifesto semacam kehilangan hala tuju perjuangan.
Fokus UMNO di Permatang Pauh harus lebih menyeluruh. Kempen menaikkan poster harus lebih agresif dan dilihat di semua tempat dengan banyaknya kerana ini memberi kesan imej. Sekiranya pendekatan calon dan ahli kempen sifatnya menyantuni, penulis percaya UMNO dan BN boleh membuat kejutan. Apa yang bakal berlaku di Permatang Pauh menjadi testimoni politik PRU-14 nanti.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/boikot-selesai-pkr-masih-tolak-hudud-1.87973#sthash.P03LGgCN.dpuf
No comments:
Post a Comment