Páginas

Thursday, 7 May 2015

Kerajaan Negeri Tanggung Kos Bawa Pulang Jenazah Nor Atikah

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 6 MAY 2015


Kerajaan negeri bersetuju menanggung kos urusan yang dianggarkan berjumlah RM10,000 bagi membawa pulang jenazah pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Nor Atikah Alias, 25, ke tanah air, secepat mungkin.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pada masa kini urusan menuntut jenazah sedang dilakukan oleh keluarga arwah dengan dibantu pihak kedutaan diikuti urusan dokumentasi membawa pulang Allahyarhamah sebelum dikebumikan di Jeram Linang, Pasir Putih, Kelantan.


“Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga dan moga roh arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

“Segala kos untuk urusan membawa balik akan ditanggung oleh kerajaan negeri kerana insurans yang diambil oleh pelajar di bawah Yayasan Terengganu hanya merangkumi rawatan di Moscow dan apabila berlaku kematian, kos pengebumian di Moscow sahaja ditanggung untuk membawa pulang tidak ditanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, hari ini.

Katanya, jenazah akan dibawa pulang dengan penerbangan Emirates dari Moscow ke Dubai dan Dubai ke Kuala Lumpur.

“Jika proses dokumentasi selesai pada petang ini, maka waktu terdekat berlepas adalah pada esok (Khamis), jam 12.05 tengah malam (waktu Rusia), atau 5.05 pagi (waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 9.45 malam (waktu Malaysia), hari Khamis (7 Mei).

“Penerbangan itu bergantung kepada siapnya dokumen dan kita pun tidak berani memberi jaminan berhubung masa sebenar. Insha-Allah pihak kedutaan, pegawai Mara dan JPA membantu kita untuk memastikan ia diselesaikan dengan segera bersama keluarga (arwah),”katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, jika dokumentasi tidak sempat siap dalam tempoh terdekat, jenazah akan dibawa pulang pada esok (khamis), jam 4.55 petang (waktu Rusia) atau 9.55 malam (waktu Malaysia) dari Moscow ke Kuala Lumpur melalui transit di Dubai (tiga jam), sebelum dijadualkan tiba pada 1 pagi Jumaat (8 Mei).

Ahmad Razif menjelaskan,  kerajaan negeri yang turut menanggung kos pengebumian akan menyediakan van jenazah dan diiringi dua kereta pengiring untuk membawa Allahyarhamah ke tanah perkuburan.

Dalam kejadian 22 April lalu, Nor Atikah bersama empat lagi penuntut jurusan perubatan rakyat Malaysia dimasukkan ke hospital selepas mengalami kecederaan akibat kebakaran di bangunan tingkat tujuh bangunan kediaman mereka, kira-kira 11.30 malam.

Namun, selepas kira-kira dua minggu dirawat beliau dilaporkan meninggal dunia kira-kira 2.30 petang waktu tempatan, semalam akibat komplikasi pernafasan.

Mangsa dilaporkan turut mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki akibat daripada kejadian berkenaan.

Teganukita

No comments:

Post a Comment