Páginas

Wednesday 6 May 2015

BN pertahan kerusi Parlimen Rompin


MOHAMAD SHOFI MAT ISA  |  06 Mei 2015 2:22 AM


Hasan Arifin bersama ahli keluarga selepas diumumkan berjaya memenangi
*****
Hasan Arifin bersama ahli keluarga selepas diumumkan berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin di Rompin, Pahang, malam tadi. UTUSAN/MAHATHIR ALI

ROMPIN 5 Mei – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Rompin dalam pilihan raya kecil kawasan itu hari ini dengan memperoleh majoriti sebanyak 8,895 undi.

Calon BN, Datuk Hasan Arifin, 62, menewaskan pencabarnya daripada Pas, Nazri Ahmad, 40, apabila mendapat sebanyak 23,796 undi manakala lawannya itu memperoleh 14,901 undi.


Keputusan PRK Parlimen Rom­pin diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi berkenaan, Datuk Fadzilla Salleh di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada pukul 10.26 malam.

Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 74 peratus berbanding pilihan raya umum lalu, 85.9 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 80 peratus pengundi akan keluar mengundi hari ini.

Sasaran itu pada awalnya kelihatan akan tercapai berikutan purata 15 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab setiap sejam dalam pilihan raya kecil itu yang bermula pukul 8 pagi.

Setakat pukul 11 pagi, sejumlah 24,438 atau 46 peratus pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Jumlah itu bagaimanapun memperlihatkan peningkatan perlahan mulai pukul 12 tengah hari daripada 29,935 orang atau 56 peratus keluar mengundi kepada 33,402 orang atau 62.67 peratus sejam kemudian.

Kerusi Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar dengan majoritinya Melayu manakala 1,352 pengundi Cina, India (621) dan lain-lain termasuk Orang Asli 4,541 orang.

Parlimen itu merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Ibam membabitkan 19,561 pengundi, Muadzam Shah (17,394) dan 16,339 pengundi di DUN Tioman.

Daripada jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen itu, 545 orang merupakan pengundi awal yang layak mengundi terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis yang terbabit dalam nahas helikopter di Semenyih, Se­langor pada 4 April lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Jamaludin mengekalkan kerusi Parlimen Rompin yang dimenanginya sejak 1990 apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Proses pengundian PRK Rompin berjalan lancar tanpa sebarang insiden atau kekecohan yang tidak diingini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bn-pertahan-kerusi-parlimen-rompin-1.88459#sthash.qwyycuNX.dpuf

No comments:

Post a Comment