Páginas

Monday 25 May 2015

Mantan Adun Ajil Dianugerah Tokoh Guru Hulu Terengganu

AUTHOR: MASTURA JAMALDIN 25 MAY 2015 3:38 PM0 COMMENTSVIEWS: 58


Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid,51, diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Daerah Hulu Terengganu 2015.


Rosol yang kelihatan terharu dengan pengiktirafan terlalu tinggi itu berkata, guru adalah kerjaya yang mulia dan kerana itu beliau melihat tema hari guru iaitu ‘Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak’ perlu dihayati semua guru termasuk ibu bapa.

Beliau memberikan tiga saranan kepada guru supaya tidak berputus asa dalam memberi pendidikan kepada pelajar sekalipun ada ketikanya dikritik hebat.

“Setiap guru mestilah mempunyai niat yang ikhlas dalam mendidik anak bangsa kerana mereka pemimpin masa depan negara. Keduanya, guru perlu bersungguh-sungguh dalam bidang pendidikan yang di ceburi supaya kerjaya ini dikagumi. Dan yang akhirnya walaupun sumbangan tidak dibalas sekarang tapi ianya pasti akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru peringkat Daerah Hulu Terengganu kali ke-44 yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman Ajil, hari ini.

Beliau juga menasihatkan kepada guru-guru di negara ini perlu bersyukur kerana menikmati pelbagai kemudahan sehinggakan ada guru dari luar negara berminat untuk berkhidmat di Malaysia kerana kelebihan yang di nikmati di sini.

Pada majlis itu, Rosol yang berkecimpung dalam bidang pendidikan bermula tahun 1991 sehingga 1999 sebelum bergelar wakil rakyat di kawasan Ajil menerima sijil penghargaan,wang tunai RM1000,sepersalinan pakaian serta plak.

Sebanyak 114 anugerah pelbagai kategori kecemerlangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri ,Ghazali Taib sempena sambutan Hari Guru Peringkat Daerah kali ini.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment