Páginas

Monday, 11 May 2015

HARI UMNO 69 Tahun: Pastikan Melayu Bersatu Untuk Kesinambungan Parti


KUALA LUMPUR, 11 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru ahli-ahli parti dari semua peringkat untuk menghayati perjuangan UMNO bersempena ulang tahunnya yang ke 69 hari ini.


Katanya, perjuangan UMNO adalah berpaksikan cita-cita kebangsaan Melayu yang mahu mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara maka nilainya perlu terus diperkukuh dari semasa ke semasa.

“Perjuangan UMNO bukanlah bersifat populis dan retorik semata-mata kerana realiti menjadi bukti hasil kejayaan yang telah digariskan sejak penubuhannya iaitu UMNO bersama-sama Barisan Nasional membawa negara keluar dari garis kemiskinan seterusnya menuju negara maju,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, dengan usia UMNO yang telah 69 tahun, sememangnya menjadi bukti bahawa parti tersebut merentas masa, mengikut peredaran zaman dan sentiasa menjadi pemangkin kepada anak bangsa dalam pelbagai bidang.

“Inilah satu-satunya parti yang sentiasa relevan dalam perjuangan agama Islam, bangsa Melayu dan kedaulatan negara maka ahli-ahli UMNO perlu sentiasa bijak membuat penilaian, waras melakukan pertimbangan dan arif dalam menentukan masa hadapan.

“UMNO memang sentiasa diasak dari luar dan dalam, ditohmah dengan macam-macam perkara, ada manipulasi dan provokasi tetapi kita tidak perlu melatah kerana yang utama adalah manifestasi perjuangannya untuk terus dihayati dan diaplikasi.”

Ujar beliau lagi, dalam pelbagai keadaan khususnya berdepan dengan cerita-cerita negatif, nilailah jasa UMNO yang bukan sedikit malahan semua rakyat di negara ini pastinya merasai nikmat hasil daripada perjuangan UMNO.

“Saya yakin, dengan kesungguhan dalam memanfaatkan usaha, masa dan tenaga maka tentunya UMNO akan terus memainkan peranan dan tetap relevan berjuang asalkan anggota parti terus menghayati intipatinya dan memahami kesungguhan pucuk pimpinan parti.”

“Demi agama Islam, demi maruah bangsa Melayu dan demi kedaulatan tanah air ini, marilah kita terus bersatu dengan UMNO terus menjadi wadah perjuangannya. Selamat Hari UMNO,” ucap beliau lagi.

– MediaUMNO

No comments:

Post a Comment