Páginas

Wednesday 6 May 2015

Kemaman Raih Kejuaraan Pertandingan Kenderaan Berhias

AUTHOR: SURIATI ALI | 6 MAY 2015
Kenderaan berhias Besut melalui pentas utama untuk diadili juri pada pertandingan Kenderaan Berhias 2015 sempena sambutan Ulang Tahun Ke-53 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi. Foto: Harish Fadzillah Kasim
*****
Kelainan idea dengan menampilkan konsep industri berat berasaskan minyak dan gas yang diterapkan Kemaman pada kenderaan berhias melayakkan daerah itu dinobatkan sebagai juara.


Kemenangan itu melayakkan pasukan yang diketuai yang DiPertua Majlis Daerah Kemaman, Mohd Zulkifli Abu Bakar itu membawa pulang wang tunai RM20,000.

Semua daerah di negeri ini termasuk Kuala Nerus menyertai pertandingan Kenderaan Berhias 2015 sempena sambutan Ulang Tahun Ke-53 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyempurnakan pertandingan bertujuan menonjolkan keunikan produk yang terdapat di setiap daerah itu .

Turut berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Hadir mengiringi baginda berdua, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.


Hadir sama, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Naib juara bagi pertandingan itu pula dimenangi daerah Dungun dan layak memperoleh wang tunai RM15,000 dan tempat ketiga disandang Setiu (RM10,000).

Manakala bagi perarakan beca berhias pula, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mengetengahkan konsep moden dan kontemporari berjaya mengondol juara dan membolehkan pasukan itu menerima wang tunai RM3,000.

Perarakan kenderaan dan beca berhias yang bermula di Dataran Shahbandar melalui Jalan Sultan Zainal Abidin kemudian menuju ke Jalan Persinggahan dan berakhir di Taman Awam Batu Burok membolehkan orang ramai melihat secara dekat sepanjang laluan kira-kira lima kilometer itu.

Pada malam berkenaann yang turut diadakan pertunjukan bunga api dan tarian tradisional mampu menarik perhatian hampir 10,000 pengunjung.


Sementara itu, Mohd Zulkifli berkata hasil sokongan padu 20 kakitangan antara petua kenderaan berhias milik daerah Kemaman mampu memikat hati juri pertandingan.

“Kakitangan terlibat mengambil masa hanya empat hari dengan membelanjakan hampir RM40,000 bagi menyiapkan konsep yang diinginkan penganjur,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan.

No comments:

Post a Comment