Páginas

Wednesday, 20 May 2015

Kongsi Idea Lapan Bekas Pengarah Pendidikan Negeri

AUTHOR: SURIATI ALI 19 MAY 2015

 Bekas Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salleh Busu dipilih sebagai Tokoh Guru 2015 – Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail
*****
Kerajaan negeri menyarankan supaya Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) turut berkongsi idea bersama-sama lapan bekas pengarah jabatan itu dalam membangunkan taraf pendidikan pelajar.

Menteri Besar, Dato’Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sekiranya idea-idea dan pengalaman mantan-mantan itu digabungkan sudah pasti mendapat kekuatan yang luar biasa.


Katanya, JPNT perlu memandang serius mengenai perkara ini, kerana jasa-jasa mereka perlu dihargai dan disanjung.

“Sumbangan idea boleh disalurkan melalui pelbagai cara sama ada melalui seminar, sesi brainstorming dan kursus tertentu, apa yang penting dapat mencapai matlamat untuk mengembleng idea mereka.

“Pendekatan seumpama itu sudah dilaksanakan kerajaan negeri di mana berjaya mengumpul idea dua mantan Menteri Besar melalui forum dan dilihat perkara itu cukup menarik serta banyak idea boleh dikongsi dan dimanfaatkan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’Osman Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Majlis itu menganugerahkan bekas Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salleh Busu sebagai Tokoh Guru 2015.

Ahmad Razif turut mengumumkan tiga hadiah sempena hari guru, pertama mengerjakan umrah kepada 50 orang guru terpilih, manakala bukan beragama Islam, boleh melancong ke luar negara.

Katanya, berbesar hati menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM24,000 kepada 8 mantan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu di mana setiap mantan memperoleh RM3,000.

“Hadiah terakhir yang disumbangkan TDM Berhad dan Syarikat Epic berjumlah RM200, 000 sebagai tanda perhargaan di atas kerajaan mencipta nama Terengganu di peringkat kebangsaan, terutama dalam peperiksaan awam,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment