Páginas

Tuesday 12 May 2015

Sidang DUN: RM304 Juta Kerugian Akibat Banjir Tahun Lalu

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN | 12 MAY 2015

Dato' Haji Muhammad Pehimi
*****
Kerajaan negeri menanggung kerugian kira-kira RM304 juta akibat bencana banjir besar yang melanda Terengganu pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, berkata kerugian itu melibatkan kemusnahan dan kerosakan kediaman mangsa banjir yang berjumlah  lebih RM2 juta, manakala selebihnya kira-kira RM302 juta membabitkan kerosakan bagi harta benda awam bagi semua jabatan terlibat.


Katanya, jumlah kerugian berdasarkan jabatan melibatkan Polis DiRaja Malaysia kira-kira (RM271 ribu), Jabatan Kesihatan (RM315 ribu), Jabatan Kerja Raya (RM233 juta), Jabatan Pengairan Dan Saliran (RM12 juta),  Jabatan Pertanian (RM2.9 juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar  (RM4 juta), Jabatan Perikanan (RM1.6 juta), Pejabat-Pejabat Daerah (RM9.4 juta), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (RM10 juta), Jabatan Pendidikan (RM18 juta), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) RM7.9 juta dan  Telekom Malaysia Terengganu RM296 ribu.

‘’Langkah beterusan kerajaan bagi menghadapi banjir  pada masa akan datang  terbahagi  kepada tiga kategori, iaitu melaksanakan projek tebatan banjir, mengambil langkah memastikan rakyat sentiasa bersiap-siaga dengan kemungkinan banjir berulang setiap tahun dan memastikan pembangunan yang dibuat di negeri ini adalah di bawah kawalan.

“Sementara bagi dari semasa ke semasa kita sudah melaksanakan 10 projek saliran dan tebatan banjir dengan jumlah keseluruhan peruntukan kira-kira RM66.3 juta termasuk yang terbaharu, projek tebatan banjir di Baruh Tok Jiring melibatkan RM90 juta. Kita juga berjaya memasukkan program tebatan banjir Chukai-Kemaman Fasa 2  dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos melebihi RM300 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Dato’sabri Mohd Noor (BN-Langkap), di Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Muhammad Pehimi (BN-Jertih) berkata,  pada tahun ini, seluruh daerah akan melaksanakan simulasi menghadapi kemungkinan banjir pada 2015, selain dari semasa ke semasa, kerajaan negeri akan memastikan setiap perancangan pembangunan tidak menjejaskan kawasan tadahan air, tiada limpahan hujan ke sungai dan juga pembangunan hutan seluruh Terengganu.

Tambah beliau, pada tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM373,000 bagi pembelian bot dan enjin oleh Pejabat daerah Kemaman (RM300,000), Pejabat daerah Setiu (RM40,000) dan pejabat Daerah Hulu Terengganu (RM33,000).

Dalam pada itu juga, katanya pelan pengurusan bencana banjir bagi tahun lalu turut mendapat pujian daripada pucuk pimpinan negara apabila prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat oleh Jawatankuasa Bencana Banjir  di Kemaman itu akan menjadi contoh kepada negara supaya diikuti oleh negeri-negeri lain.

“SOP itu juga bakal dijadikan panduan kepada semua pihak dan jabatan yang akan diselaraskan oleh (MKN) Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu sebagai persiapan berdepan banjir  di seluruh daerah di Terengganu pada masa depan,”katanya.

TeganuKita

No comments:

Post a Comment