Páginas

Monday, 18 May 2015

MB Saran Bubar GLC Tidak Menguntungkan

AUTHOR: SURIATI ALI 17 MAY 2015
Ahmad Razif memasukkan plak penanda sebagai gimik Pelancaran Hari Ulangtahun TDM Berhad (TDM) Ke-50, di Permai Hotel, malam tadi. Foto: Hasmizi Ismail
*****
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman menyarankan agar mana-mana anak syarikat kerajaan negeri yang tidak menguntungkan dibubarkan agar tidak terus merugikan kerajaan.


Katanya, setiap GLC hendaklah bersedia membuat transformasi ke arah memastikan setiap pelaburan yang dilaksanakan memberi impak dan pulangan positif kepada rakyat.

“Mereka yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah diminta bersikap tegas, mengubah minda, sentiasa ikhlas dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi memelihara kepentingan rakyat dan kerajaan negeri.

“Sudah tiba waktunya individu berkaitan memainkan peranan untuk menjamin kemampuan syarikat dan secara langsung menangkis isu-isu yang melibatkan integriti, rasuah serta ketirisan di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Ulangtahun TDM Berhad (TDM) Ke-50, di Permai Hotel, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pengerusi TDM Berhad, Tan Sri Dato’ Wan Abu Bakar Wan Omar.

Ahmad Razif berkata beliau percaya syarikat boleh bankrap jika gagal menjadikan integriti sebagai tonggak utama pentadbiran .

Sementara itu, Wan Abu Bakar memberitahu, TDM kini memiliki seluas 45,389 hektar ladang kelapa sawit membabitkan lokasi di Terengganu dan Kalimantan, Indonesia.

“Selain mempunyai dua kilang memproses kelapa sawit di Kemaman dan Sungai Tong, Setiu, manakala sebuah lagi kilang masih dalam pembinaan di Kalimantan,”katanya.

Katanya TDM mula menceburi sektor penjagaan kesihatan mulai 1996 dengan menubuhkan Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) di Petaling Jaya, Selangor dan Kuantan Medical Centre (KMC) di Kuantan, Pahang.

“Selang 10 tahun kemudian, TDM terus mengorak langkah dengan membina Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) di Kuala Terengganu, manakala pada 2011 pula, TDM telah membeli Taman Desa Medical Centre (TMDC) di Kuala Lumpur.

“Kesemua hospital pakar ini menyediakan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada komuniti setempat.,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment