Páginas

Monday 11 May 2015

MB Ziarah Jenazah Allahyarham Nor Atikah

AUTHOR: FAUZI MOHD | 10 MAY 2015

Jenazah Nor Atikah Alias, pelajar Malaysia yang meninggal dunia dalam kebakaran asrama di Rusia pada 22 April lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jeram Linang, Pasir Putih, hari ini.

Jenazah pelajar itu disemadikan bersebelahan kubur neneknya Allahyarham Esah Ali kira-kira pukul 10.45 pagi.


Jenazah pelajar perubatan itu sebelum itu disembahyangkan di rumah bapa saudaranya Mat Yaacob Mat Jusoh terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan.

Jenazah yang dibawa pulang dari Moscow, Rusia, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 Sabtu malam dan terus dibawa dengan kereta jenazah dan tiba pukul 8.30 pagi tadi di rumah bapa saudaranya itu.

Turut mengiringi jenazah dari Moscow dan KLIA ialah bapa allahyarham, Alias Yaacob, ibu Najihah Mat Jusoh dan tunang Nor Atikah iaitu Wan Mohd Ikwan Wan Ahmad Sayutti.

Nor Atikah, 25, pelajar tahun akhir Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Rusia, Moscow, meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo akibat melecur 30 peratus pada muka, tangan dan kaki.

Segala kos untuk membawa pulang jenazah Nor Atikah ditanggung oleh kerajaan Terengganu kerana Allahyarham merupakan pelajar tajaan Yayasan Terengganu.

Menziarahi jenazah ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.

Teganukita

No comments:

Post a Comment