Páginas

Monday 1 June 2015

120 Media Sertai Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2015

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 31 MAY 2015


Sebanyak 120 wakil media cetak dan elektronik dari 28 buah negara mengesahkan penyertaan ke Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu bermula 2 hingga 7 Jun depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata selain aktiviti mencandat sotong, wakil media juga akan didedahkan kepada produk pelancongan tempatan di lokasi berlainan di empat daerah iaitu sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Hulu Terengganu.

Beliau berkata antara aktiviti sepanjang program itu berlangsung adalah pertandingan mencari kepah, lawatan ke Pekan Budaya di Setiu, Festival Peranakan, lawatan ke Taman Tema Air Tasik Kenyir serta ke Pusat Konservasi Gajah di Hulu Terengganu.

“Mereka juga akan berpeluang menyaksikan kepelbagaian sukan tradisional, makanan tradisi rakyat Terengganu serta lokasi pelancongan iaitu Pasar Payang, Taman Monumen di Taman Tamadun Islam dan Muzium Negeri,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya, sehingga kini, antara negara yang mengesahkan penyertaan ialah Perancis, Jerman, Sepanyol, China, Turki, Rusia, Australia, Filipina, Indonesia serta India.

“Selain media cetak dan elektronik arus perdana di negara tersebut, turut hadir sepanjang pesta ini ialah blogger, v-blogger, serta wartawan majalah yang akan menghasilkan liputan berita dan artikel menarik mengenai Terengganu apabila pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Pada tahun lalu, sebanyak 195 wakil media dari 21 buah negara menyertai Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 yang berlangsung seminggu bermula 11 hingga 17 April.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment