Páginas

Sunday 21 June 2015

Terengganu Rintis Dua Pusat Komuniti eRezeki

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 18 JUNE 2015


Terengganu antara empat negeri di Malaysia terpilih melaksanakan Program Komuniti eRezeki sebagai platform rakyat berpendapatan rendah menambah sumber kewangan menerusi peluang pendapatan secara digital.

Pusat eRezeki Terengganu akan beroperasi di dua daerah, masing-masing di Bangunan Paya Keladi, Kuala Terengganu dan Koperasi Pembangunan Kemaman, di Kemaman.


Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri,  A Latiff Awang, berkata buat masa kini seramai 100 peserta pertama dikenalpasti terdiri daripada pekerja digital sebagai perintis program itu.

“Terengganu menyerahkan kepada  Unit Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu selaku penyelaras program eRezeki dengan berpusat di Pusat Latihan ICT Negeri, di Tingkat Dua Bangunan Paya Keladi.

“Alhamdulillah, apabila Terengganu ditawarkan dengan program eRezeki ini, kita sudah bersedia berikutan mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sekian lama tersedia, sementara  anak syarikat kerajaan negeri, Syarikat Top IT Industries sebagai operator yang berkemahiran bagi mengendalikan program ini  di Kuala Terengganu,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran eRezeki dan sidang video secara serentak di empat negeri terlibat termasuk Pahang, Kuala Lumpur  dan Kedah bersama Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama dalam sidang video di Bangunan Paya Keladi, Kuala Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.


Pehimi berkata, program transformasi nasional yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) itu bakal menjana pendapatan rakyat golongan bawah 40 (B40) daripada RM3,050 sebulan ketika ini kepada RM6,000 sebulan menjelang 2020.

“Saya melihat program KKM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) menerusi MDeC ini  akan memacu peningkatan pendapatan golongan B40. Terengganu mempunyai 40 peratus atau 675,000 penduduk dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah, iaitu mengikut nasional kurang daripada  RM3,050 sebulan.

“Program ini melibatkan kerja sambilan untuk meningkatkan pendapatan B40 sehingga lebih RM500 sebulan dengan hanya membuat kerja tiga jam sehari selama 24 hari sebulan. Ini bagi-bagi kerja tidak begitu teknikal, bagaimanapun bagi kerja yang lebih sofistikated pula melibatkan harga yang berbeza. Contohnya, tugasan animasi sudah tentu bayaran lebih mahal,”katanya.

SYA_7252Selain itu, program ini menawarkan beberapa tugasan ringkas termasuk memasukkan data daripada teks di laman web, memasukkan maklumat berdasar imej yang dilihat, memasukkan maklumat dari imej imbasan, mendengar dan memasukkan data daripada audio atau video, menyemak dan memperbaiki maklumat yang silap serta melaksanakan  carian di atas talian dan memasukkan maklumat yang diperolehi.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment