Páginas

Monday, 1 June 2015

84 Peratus JKKK Seluruh Terengganu Selesai Jalani Kursus Transformasi

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 31 MAY 2015


Sejumlah 84 peratus daripada 3,976 Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu sudah menjalani Kursus Transformasi JKKK Peringkat Negeri Terengganu bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan keberkesanan badan itu.


Kursus merangkumi 40 siri membabitkan 3,976 peserta di kalangan pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari setiap JKKK dilaksanakan sepanjang dua bulan setengah bermula 9 hingga 11 April lalu dan dijangka berakhir pada 11 hingga 13 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang, berkata daripada keseluruhan siri kursus sepanjang tiga hari itu, enam siri berjalan serentak di seluruh Terengganu membabitkan antara 500 hingga 650 peserta di setiap pusat latihan.

“Setakat ini, 35 siri sudah dilaksanakan sehingga semalam (30 Mei) yang bertempat di pusat-pusat latihan milik kerajaan seluruh Terengganu dan kehadiran JKKK amat memberangsangkan apabila ada yang merekodkan penyertaan sehingga 100 peratus.

“Sistem penarafan bintang yang diperkenalkan kerajaan negeri bermula tahun ini kepada 994 JKKK menetapkan beberapa petunjuk prestasi utama (KPI) tertentu untuk dicapai setiap JKKK, selain menjadi kayu ukur kepada pentadbiran dan memperkasakan sistem penyampaian badan itu,”katanya kepada Teganukita.my.

A Latiff berkata, bagi memastikan semua JKKK yang ada bersedia menerima sistem penarafan bintang ini maka kerajaan negeri melaksanakan kursus transformasi berkenaan.

Katanya, JKKK selaku jentera kerajaan yang paling hampir dengan rakyat memainkan peranan yang begitu besar dalam menyampaikan sistem perkhidmatan kerajaan dan bertindak sebagai jambatan antara pemimpin atasan dengan rakyat.

Menurutnya lagi, menyedari kepentingan itu, maka kerajaan negeri melalui Unit Transformasi, Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan merangka beberapa strategi untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan keberkesanan JKKK.

Daripada 944 JKKK, Kuala Terengganu mempunyai 187 JKKK, Besut (177), Hulu Terengganu (122), Kemaman (121) Kuala Nerus (105), Marang (103) Dungun (99) dan Setiu (80).

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment