Páginas

Tuesday 16 June 2015

JPNT Wujud `Cyber Troopers’ Tangani Persepsi Negatif

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 16 JUNE 2015


Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil inisiatif mewujudkan pasukan tentera siber sebagai langkah menangkis dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan negeri dan Pusat serta hal berkaitan pentadbiran.


Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin, berkata usaha yang dirinstis sejak awal tahun sudah memainkan peranannya dalam menyebarluaskan maklumat sebenar dengan cepat kepada warga pendidik menerusi pelbagai saluran serta pendekatan termasuk aplikasi WhatsApp dan Telegram.
“Dalam era teknologi ini, banyak persepsi yang boleh merosakkan pentadbiran dan jati diri guru maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghalang kejadian itu daripada berterusan.

“Apa sahaja yang tersebar di media sosial misalnya khabar angin berkaitan bencana tsunami yang melanda baru-baru ini, jadi pasukan kita telah merujuk segera merujuk jabatan berkaitan dan hanya selepas mendapat pengesahan baharulah maklumat sahih dihantar ke sekolah-sekolah untuk pencerahan,” katanya.

Shafruddin berkata kepada pemberita dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPNT yang disempurnakan oleh Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong, mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, hari ini.

Di majlis itu, seramai 1,935 warga jabatan dan guru di seluruh daerah di negeri ini terpilih menerima APC.

Menurutnya, untuk peringkat pertama itu, jawatankuasa induk berkenaan dianggotai seramai 40 orang dengan empat daripadanya mewakili setiap daerah.

Katanya, saluran WhatsApp dan Telegram digunakan sebagai medium memandangkan aplikasi itu sudah menjadi budaya yang digunakan di peringkat sekolah serta di kalangan guru-guru bagi berkongsi sebarang maklumat.

“Jadi apabila kita menyampaikan sesuatu berita menggunakan saluran itu maka, pasti lah maklumat itu akan disebarluaskan guru kepada pihak-pihak lain pula termasuk pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment