Páginas

Tuesday 9 June 2015

DAP terus provokasi Pas kosongkan jawatan

LIM GUAN ENG (tengah) bersama Lim Kit Siang (kanan) dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 8 Jun – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini meneruskan siri provokasinya bagi menggesa Pas mengarahkan wakil parti itu dalam kerajaan negeri meletakkan jawatan ekoran usul memutuskan hubungan de­ngan DAP oleh Dewan Ulama Pas sebelum ini.


Menurut Guan Eng. apa yang membuatkan beliau tidak faham ialah kenapa pemimpin-pemimpin Pas seolah-olah tidak berani membuat tindakan susulan yang logik iaitu mengeluarkan arahan peletakan jawatan kepada wakilnya dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Katanya, ini adalah kerana usul Dewan Ulama yang menggesa parti itu dan Majlis Syura Ulama memutuskan hubungan dengan DAP diterima secara muktamad pada Muktamar Pas ke-61 minggu lalu.

Beliau turut bertanyakan kepada kepimpinan Pas: “Adakah pertahankan jawatan lebih penting daripada prinsip?”

“Kalau pemimpin-pemimpin Pas ada amalan yang jelas, pasti serta konsisten, berpeganglah kepada prinsip. Cakaplah serupa bikin. Sebelum ini mereka menerima usul bagi memutuskan hubungan dengan DAP, kini mereka kata perlu rujuk (Majlis Syura Ulama) pula. Mereka sepatutnya guna perkataan rujuk bukan terima.

“Mungkin sekarang mereka terpaksa membuat keputusan melepaskan jawatan, oh.. sekarang mereka cuba pusing balik. Adakah ini perkara pertama yang dilakukan oleh kepimpinan baharu Pas? Ini saya rasa akan dipersoalkan,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.
Sebelum ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang jawatannya belum disahkan membe­ritahu, peletakan jawatan yang dijangkakan daripada wakil Pas dalam kerajaan negeri akan diterima de­ngan segera tanpa soalan.

Kenyataan Guan Eng itu menyebabkan reaksi daripada Pas apabila Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khai­ruddin Aman Razali semalam apabila beliau meminta Pas Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan provokasi DAP berkenaan.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Pas tidak perlu memutar belit kenyataannya sendiri dengan memberi alasan bahawa usul memutuskan hubungan dengan DAP itu perlu dirujuk kepada pihak lain pula kerana sudah jelas parti berlabel Islam itu telah menerima usul berkenaan.

“Kalau begitu, kenapa mereka menggunakan perkataan usul itu diterima? Sebagai parti yang berpengalaman dan matang, takkan awak guna perkataan diterima? Kalau cakap rujuk, kena guna perkataan dirujuk bukan diterima? Apa maksud diterima? Saya rasa kita tidak perlu berbelit-belit dalam hal ini. Kalau hendak putus, kita terima keputusan tetapi ambil tindakan susulannya,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-terus-provokasi-pas-kosongkan-jawatan-1.100748#sthash.yqPX2Xdu.dpuf

No comments:

Post a Comment