Páginas

Sunday, 21 June 2015

297 Anggota Penguatkuasa Kesihatan, PBT Pantau 4,419 Bazar Ramadan

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 21 JUNE 2015


Seramai 297 anggota dari 95 pasukan Penguatkuasa Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dikerahkan untuk memantau 4,419 tapak penjaja di bazar Ramadan seluruh Terengganu pada tahun ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, berkata petugas berperanan memberi kesedaran kepada peniaga serta orang awam supaya menitikberatkan aspek kebersihan di bazar, sebagai satu langkah menjayakan Kempen Keselamatan Makanan di peringkat negeri.

“Selain peniaga, orang awam juga haruslah peka dengan keadaan persekitaran sebelum membeli juadah agar tidak terdedah dengan penyakit yang berpunca dari kebersihan.

“Pemeriksaan akan dilakukan di gerai-gerai makanan yang berdaftar dengan PBT termasuk premis penyediaan bahan mentah,” katanya.


Beliau ditemui pemberita ketika merasmikan Kempen Keselamatan Makanan dan Kempen Nafas Baru di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mohamad Kamil Othman dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohammad Omar.

Pehimi berkata, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi keperluan mengikut akta-akta yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.

“Denda maksimum sehingga RM100,000 boleh dikenakan ke atas peniaga yang melakukan kesalahan kerana menjual makanan yang memudaratkan,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment