Páginas

Tuesday, 16 June 2015

Tidak Puasa, Makan Di Khalayak Ramai Akan Ditangkap

AUTHOR: NORAINI JUSOH 15 JUNE 2015


Umat Islam di negeri ini yang tidak menghormati bulan Ramadan termasuk makan di waktu siang akan didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Seksyen 19.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, tindakan itu bertujuan memastikan setiap yang beragama Islam di negeri ini mematuhi syariat yang digariskan agama.

“Kita mempunyai satu pasukan untuk membuat pemeriksaan di kedai makan dan restoran yang beroperasi di siang hari sepanjang Ramadan ini.

“Tangkapan akan dibuat terhadap orang Islam tidak kira lelaki atau perempuan yang baligh jika didapati makan di siang hari di khalayak ramai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Graduasi dan Khatam Al-Quran Institut Al-Quran Terengganu (IQT) di Terengganu Equestrian Resort (TER), hari ini.

Turut hadir, Pengarah IQT, Prof. Madya Dr. Ahmad Bazli Shafie.

Ghazali berkata, mereka yang ditangkap sama ada sedang makan atau menjual makanan kepada orang Islam secara terbuka atau di tempat awam akan didakwa serta-merta agar menjadi pengajaran kepada umat Islam yang lain.

Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan negeri juga telah memutuskan untuk memeriahkan Ramadan kali ini dengan memperkenalkan konsep pelancongan Ramadan.

“Kita mengalu-alukan orang luar untuk datang melancong di negeri ini pada bulan Ramadan dan menikmati puasa di Terengganu serta bersama-sama melakukan aktiviti seperti solat terawih, qiamullail, taddarus al-Quran dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dipertanggungjawabkan untuk menentukan masjid-masjid akan menjadi tumpuan bagi merealisasikan tujuan tersebut.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment