Menurut beliau, MT berpendapat bahawa kepentingan rakyat perlu didahulukan di mana penangguhan ini akan dapat membuatkan ahli dan kepimpinan parti lebih fokus untuk menyelesaikan permasalahan rakyat baik di peringkat dasar mahupun diperingkat akar umbi.
“Kita mengumumkan penangguhan ini adalah kerana kita tidak mahu ada pihak nanti yang sudah merancang strategi politik untuk menghadapi pemilihan dan boleh mengeruhkan suasana politik dalaman itu sendiri.
“Penangguhan ini juga dapat memberikan ruang dan peluang bagi pengukuhan parti dan kerja yang patut kita lakukan supaya UMNO dan rakan-rakan komponen kita lebih mantap untuk menghadapi pilihan raya akan datang.”
Jelasnya, tumpuan perlu diberikan kepada tugas dan kerja-kerja parti yang telah diarahkan sebagaimana panduannya telah diberi kepada semua setiausaha-setiausaha bahagian.
“Mereka tahu KPI yang sepatutnya kita capai dan sebagainya. Jadi perkara inilah yang perlu kita utamakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Menurut beliau, penangguhan pemilihan ini bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah pun dilakukan penangguhan berasaskan kepada rasional keadaan semasa.
“Ini bukan bererti UMNO menafikan hak demokrasi dan keterbukaan kepada semua ahlinya, tetapi bila sampai pada masanya, kita akan melaksanakan pemilihan untuk memberikan ruang kepada ahli melakukan pemilihan di semua peringkat,” ujarnya.
Disamping itu, MT UMNO juga membuat keputusan untuk melihat kaedah pemilihan dengan lebih mendalam supaya kaedah yang digunakan pakai hari ini boleh ditambah baik dengan mengambil maklum pandangan dan pendapat ahli akar umbi di semua peringkat.
“Kita juga bersetuju untuk mengkaji dan melihat semula kaedah yang diguna pakai dalam pemilihan dengan mendalam agar kita mencari kaedah yang lebih baik atau menambah baik kaedah yang sedia ada.
“Insya-Allah kita punyai masa yang panjang untuk meneliti kaedah-kaedah pemilihan yang digunakan di dalam perlembagaan baru menerusi tatacara pemilihan ini supaya ia akan dapat dijalankan dengan lebih baik pada masa yang akan datang,” jelasnya.
MediaUMNO/MediaJertih
No comments:
Post a Comment