Páginas

Sunday 14 June 2015

Kembali Hayati Prinsip Rukun Negara-Pehimi

AUTHOR: MOHAMAD ISHAK 14 JUNE 2015


Rakyat negeri ini diminta kembali menghayati lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara bagi menjamin kestabilan dan perpaduan kaum di negara ini terus terjamin sepanjang hayat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof, berkata sejak kebelakangan ini rakyat terutama generasi baru tidak lagi mengamalkan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara  menyebabkan banyak perkara yang bertentangan dengan perlembagaan negara tidak lagi dihormati.


Katanya, adalah malang bagi seluruh rakyat yang tidak tahu lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara kerana ia perlu digunapakai untuk semua kaum yang menjadi Warga Negara Malaysia.

“Jika semua masyarakat pelbagai kaum mengamalkan prinsip berkenaan keharmonian kaum dan kedaulatan undang-undan tidak akan dicabul oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Arena Merdeka, Dungun, semalam.

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, mewakili Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, usaha Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menganjurkan program berkenaan amat tepat dan perlu diberi sokongan kerana ia sebahagian daripada usaha untuk memupuk perpaduan nasional.

Hadir sama ialah, Pengarah Bahagian Perhubungan Masyarakat dan Kejiranan JPNIN, Abd Halim Mohd Salleh; Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud; Timbalannya, Sukri Omar dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Abd Hamid Embong.

Program tahunan yang diadakan secara bergilir-gilir itu dihadiri lebih 5,000 tetamu dengan sebahagian besarnya di kalangan ahli dan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari seluruh Terengganu.

Sempena dengan program itu pelbagai acara menarik diadakan termasuk pertandingan gerai pameran etnik, dikir barat, pertandingan mewarna, senamrobik, bacaan yasin, solat hajat, kuiz perpaduan dan perasmian Pusat Kawalan SRS.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment