Kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak menggunakan khidmat imam dari luar negara di semua masjid di negeri ini sepanjang Ramadan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, pihak masjid dikehendaki menggunakan sepenuhnya khidmat imam-imam tempatan sama ada yang sedia ada atau imam tahfiz jemputan.
“Kita peka dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Ketua Agama Islam di negeri ini agar mengutamakan imam dari kalangan tahfiz di negeri ini.
“Setakat ini, kita tidak ada cadangan untuk mengambil imam dari luar termasuk Mesir seperti yang dilakukan sebelum ini setiap kali tibanya Ramadan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Graduasi dan Khatam Al-Quran Institut Al-Quran Terengganu (IQT) di Terengganu Equestrian Resort (TER), hari ini.
Turut hadir, Pengarah IQT, Prof. Madya Dr. Ahmad Bazli Shafie.unnamed (12)
Menurut Ghazali, dari segi kemampuan tidak ada masalah kerana Terengganu mempunyai imam yang cukup termasuk tahfiz dari IQT, Sekolah Menengah Imtiaz dan lain-lain.
“Justeru, mereka ini akan menjadi imam di masjid-masjid di negeri ini sempena bulan puasa tidak lama lagi,” ujarnya.
Malah katanya, lebih membanggakan apabila dua tahfiz dari negeri ini juga akan dihantar ke Masjid Darul Imaan di Syedney, Australia untuk menjadi imam di sana sepanjang Ramadan kali ini.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment