KUALA LUMPUR, 29 Jun – Bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim berkata, pertelagahan antara PasMa dan kumpulan G18 baru-baru ini seolah-olah memperlihatkan kedua-dua kumpulan tersebut kini bersaing sesama sendiri untuk membuktikan siapakah yang lebih baik menjadi orang suruhan Dap di dalam pakatan baru yang dicadangkan, setelah pakatan pembangkang berkubur apabila Pas membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Dap.
Menurut beliau, ia jelas memperlihatkan bahawa masing-masing cuba menjatuhkan antara satu sama lain dengan bertindak memburuk-burukkan antara sesama sendiri.
“Saya kira kedua-dua kelompok ini masing-masing cuba nak tonjolkan bahawa merekalah yang lebih layak menjadi orang kepercayaan Dap.
“Sebab itu, belum apa-apa lagi mereka sudah serang menyerang antara mereka sendiri. Masing-masing cuba nak rebut kepercayaan Dap di dalam pakatan baru ini,” katanya sinis kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau juga yakin bahawa nasib pakatan baru yang dianggotai oleh Dap, PKR dan Pasma ini juga tidak akan bertahan lama dan bakal menerima nasib yang sama seperti pakatan mereka sebelum ini.
“Kalau awal-awal lagi mereka dah mula bertekak, saling buruk menburukkan sesama sendiri, pandangan saya jangka hayat pakatan baru ini juga tidak akan kekal lama.
“Ini memandangkan pakatan pembangkang mempunyai satu masalah besar iaitu persefahaman dalam perjuangan. Ini kerana gabungan ini hanya punyai kesamaan dari segi matlamat untuk menjatuhkan BN, tetapi begitu banyak sekali perbezaan jika berdasarkan perjuangan dan matlamat politik parti masing-masing dan begitu kurangnya toleransi antara mereka.
“Tidak seperti BN, biarpun berbelas parti berlainan bangsa dan agama di bawah satu payung, mereka mampu bekerjasama untuk satu matlamat bersama iaitu membangunkan negara dengan mewujudkan semangat toleransi antara kaum di negara ini. Ini yang tidak ada di dalam pakatan pembangkang,” tegasnya.
Justeru itu beliau menyeru rakyat agar, khususnya penyokong pakatan pembangkang bahawa realitinya pakatan pembangkang masih belum mampu untuk menjadi kerajaan di negara ini.
“Mereka tidak boleh jadi kerajaan yang baik apabila tidak ada persefahaman. Bila tidak ada persefahaman maka akan timbul konflik. Bila timbul konflik, kemudian gagal ditangani maka natijahnya berkuburlah pakatab pembangkang seperti yang kita lihat hari ini.
“Bayangkan kalau mereka sedang memerintah negara ketika ini. Sudah tentu konflik ini akan memberikan kesan ketidakstabilan politik yang teruk dan ini akan menjejaskan ekonomi negara. Rakyat kan diheret ke dalam kancah perebutan kuasa antara mereka sesama sendiri. Pastinya jika kita berfikiran waras, maka kita tak mahu perkara seumpama itu berlaku di negara kita,” ujarnya.
-MediaUMNO/MediaJertih
No comments:
Post a Comment